Breaking news

Wednesday 16 September 2020

KAMI Playgroup Masjid Kg Tunku bentuk keyakinan anak autisme

Nazir Masjid Kampung Tunku, Wan Huzaini Wan Hussin.

PETALING JAYA: Peranan masjid dalam membantu komuniti diterjemahkan Masjid Kampung Tunku yang menubuhkan Kumpulan Anak Autisme Masjid (KAMI) Playgroup dalam usaha menyediakan ruang bagi kanak-kanak autisme melakukan aktiviti sekali gus membantu pemulihan golongan istimewa itu.

Nazir Masjid Kampung Tunku Wan Huzaini Wan Hussin berkata, KAMI Playgroup bukan program yang hanya menyasarkan kelompok tertentu, sebaliknya berbesar hati menerima mana-mana pihak tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan kaum.

“Kita sebenarnya bukan mahu ikut orang lain buat atau tidak, perkara utama untuk memenuhi keperluan unik bagi anak-anak autisme. Ia tercetus dari awal kerana ada salah seorang guru yang terlibat dalam program anjuran masjid mempunyai anak autisme,” katanya kepada FMT.

Ketua Program KAMI Playgroup, Adline Abd Ghani.

KAMI Playgroup diasaskan bawah Biro Pendidikan Masjid Kampung Tunku pada hujung 2017, sebagai ikhtiar khidmat masyarakat oleh institusi ibadat itu.

Sejak itu, pihak masjid terus menerima pelbagai respons positif daripada ibu bapa di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, pelaksanaan ruang bagi anak autisme melakukan aktiviti di ruang lingkup yang selamat turut memberi peluang kepada mereka bermain serta membolehkan ibu bapa bertukar pandangan, pengetahuan dan maklumat berkaitan autisme.

“Saya selalu sebutkan penubuhan KAMI Playgroup ini juga memberi tempat untuk ibu bapa yang mempunyai anak autisme berkongsi emosi, sokongan, masalah dihadapi dan maklumat sesama mereka. Ia supaya mereka tidak merasakan diri berseorangan.

Antara pihak terbabit secara aktif dalam KAMI Playgroup.

“Saya bersyukur kita tidak ada isu dengan penerimaan komuniti di sini kerana program dijalankan pihak masjid seperti ini mendapat sokongan kariah di sini. Mereka semua sokong dan saya juga selalu katakan, masjid bukan tempat untuk beribadat sahaja,” katanya.

Wan Huzaini turut memaklumkan, individu yang terlibat dalam membantu menguruskan aktiviti kanak-kanak autisme bermain dalam tempoh 1 jam adalah sukarelawan, individu yang prihatin mengenai nasib dan keperluan mereka.

KAMI Playgroup bukan saja bergerak sendirian sebaliknya turut menerima bantuan daripada pihak lain antaranya kerajaan Selangor yang memberikan sumbangan RM10,000.

Baginya, selain bermatlamat mengajak komuniti setempat lebih kerap ke masjid untuk beribadah, beliau juga percaya kawasan masjid boleh digunakan sebagai lokasi selamat bagi anak autisme melakukan aktiviti.

Bantu golongan kurang berkemampuan

Sementara itu, Adline Abd Ghani yang bertindak sebagai ketua program KAMI Playgroup menjelaskan pelaksanaan program berkenaan memberi peluang kepada keluarga kurang berkemampuan, memandangkan banyak perkhidmatan swasta membabitkan autisme mengenakan bayaran tinggi.

“Saya sendiri mempunyai anak autisme, saya sendiri alami masalah seperti ibu bapa lain yang turut mempunyai anak autisme, jadi saya faham keperluan bagi anak istimewa seperti ini. Mereka perlukan tempat untuk bermain dan melakukan aktiviti,” katanya.

Kanak-kanak autisme melakukan aktiviti sambil dibantu sukarelawan termasuk ibu bapa.

Bayaran ditetapkan pihak pengurusan adalah RM30 sebulan bagi seorang kanak-kanak, manakala kadarnya akan lebih berpatutan jika menghantar lebih daripada seorang kanak-kanak di KAMI Playgroup.

Adline berkata, dengan menyediakan ruang yang selamat dan selesa untuk anak autisme bermain, ia secara tidak langsung meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi, kognitif, kematangan emosi serta keyakinan diri dalam menangani situasi semasa.

“Bagaimanapun, cabarannya adalah untuk merancang aktiviti untuk anak autisme ini yang berbeza usia. Memandangkan kita menerima anak-anak ini dari pelbagai peringkat usia, seawal 3 tahun hingga 13 tahun. Kita sebolehnya tidak mahu tolak anak-anak ini,” katanya.

Antara aktiviti dilakukan dalam tempoh 1 jam di KAMI Playgroup membabitan seni seperti mewarna, aktiviti melibatkan kemahiran motor sensori serta beberapa aktiviti lain yang turut mewajibkan penyertaan ibu bapa atau ahli keluarga.

Bagaimanapun, menurut Adline sejak Mac lalu, pusat itu ditutup buat sementara waktu selepas negara diserang wabak Covid-19. Namun, pihaknya sedang giat merangka kertas cadangan dan SOP untuk diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor serta pihak berkaitan.

“Kita tahu suasana sudah tidak seperti dahulu lagi, perlu wujudkan SOP supaya kebajikan dan kesihatan anak-anak ini sentiasa terjamin. Memandangkan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan sebelum ini, saya sendiri dihujani pertanyaan daripada ibu bapa.

“Jika kita sendiri dan anak-anak normal yang lain turut berasa tertekan apabila tidak dibenarkan keluar dari rumah, apatah lagi bagi anak-anak autisme ini, lebih-lebih lagi mereka tidak memahami situasi yang berlaku. Tidak dinafikan inilah antara cabaran yang kami hadapi,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2FCk9uH
via IFTTT

No comments:

Post a Comment