Breaking news

Saturday, 12 September 2020

Jangan hanya salahkan terowong SMART punca banjir kilat, kata pakar

Gambar tular Masjid Jamek di media sosial yang ditenggelami air berikutan banjir kilat di Kuala Lumpur minggu ini.

PETALING JAYA: Pakar berkata, penangguhan pengaktifan terowong SMART tidak harus dipersalahkan sebagai satu-satunya punca berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur pada Khamis.

Penasihat utama G&P Perairan dan Maritim Chong Sun Fatt dan pensyarah Alias Abdullah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, hujan lebat sukar untuk diramal dan ia merupakan penyebab utama banjir kilat.

Chong, yang juga seorang pakar hidrologi berkata, hujan di Lembah Klang baru-baru ini sangat lebat di bahagian utara dan timur di mana terdapatnya Sungai Gombak dan Sungai Batu.

Bahagian selatan KL pula menerima curahan hujan yang lebih rendah dan terhindar daripada berlakunya banjir, katanya kepada FMT.

Chong Sun Fatt

“Terowong SMART hanya boleh salurkan aliran air dari Sungai Ampang dan Sungai Klang.

“Jumlah aliran sungai yang besar dari Sungai Gombak dan Sungai Batu tidak dapat disalurkan oleh SMART. Ini menyebabkan paras air sungai meningkat di pusat bandar KL, seperti kawasan Masjid Jamek.”

Chong juga berkata. terowong itu “secara efektif mengurangkan” sejumlah air banjir dan mengelakkan Sungai Klang daripada melimpah.

Tambahnya, projek mitigasi banjir lebih sukar melibatkan kawasan dataran yang rendah dan pusat bandar lama seperti KL kerana ia memerlukan peruntukan modal yang besar dan operasi penempatan semula besar-besaran.

“Secara teknikal dan ekonomi, kita tidak akan dapat atasi banjir kilat. Ia terlalu mahal dan tidak praktikal untuk dilaksanakan.

Alias Abdullah

“Setiap sistem saliran hanya akan memberikan tahap perlindungan tertentu. Kita tidak boleh sediakan sistem saliran bebas banjir.”

Sementara itu, Alias berkata, banjir kilat menunjukkan perlunya pihak berwajib mengkaji semula SOP saliran kecemasan dan orang ramai juga berperanan untuk mencegah banjir.

“Kita tidak boleh salahkan 1 entiti, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak menguruskannya dengan baik. Pada masa yang sama, masyarakat perlu berhati-hati kerana mereka juga menyumbang (kepada banjir) dengan membuang sampah ke dalam longkang.”

Alias, yang merupakan pakar perancangan bandar dan wilayah juga berkata, aktiviti lain seperti pembalakan dan pembangunan hartanah menambahkan lagi kelemahan sistem perparitan air di KL.

“Anda boleh bina sebanyak mana terowong SMART, tetapi itu hanya akan menjadi langkah sementara. Semua pihak perlu bertoleransi dan bekerjasama sebagai satu pasukan (untuk mengatasi masalah tersebut).”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3ipSyuX
via IFTTT

No comments:

Post a Comment