KOTA KINABALU: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini, pelbagai isu bakal menjadi tumpuan dan perhatian pembangkang sepanjang 2 minggu tempoh berkempen.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, masalah pendatang asing tanpa izin dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menjadi “isu besar”, perkara lama yang berulang kali dimainkan dan masih belum dapat diselesaikan.
“Ia kekal diperkatakan dan tidak ke mana-mana,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, pendatang asing tanpa izin terus menjadi masalah di Sabah dan negeri ini masih belum memperoleh apa yang dijanjikan kerajaan pusat.
“Sekarang, akan ada penekanan pada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan penyakit rentas sempadan seperti polio,” katanya.
Lee berkata, kad pengenalan palsu dan pengundi yang meragukan atau hantu turut dikaitkan dengan pendatang asing tanpa izin di negeri ini.
Isu lain berbangkit daripada pendatang asing tanpa izin adalah tuduhan pembangkang yang Warisan parti mesra pendatang asing tanpa izin, yang dinafikan berulang kali oleh parti pelbagai kaum itu.
Ketua menteri Shafie Apdal juga dituduh sebagai pendatang asing tanpa izin dan Warisan adalah parti lanun, yang mana ahli Parlimen Semporna itu mengugut untuk mengemukakan saman jika tuduhan itu tidak ditarik balik.
Ekonomi, pekerjaan dan janji Warisan
Lee berkata, ekonomi negeri yang merosot akan menjadi masalah lain.
“Terlalu banyak berpolitik akan menyebabkan kebajikan rakyat dilupakan. Percayalah dengan pandemik Covid-19 yang melanda, semua orang bimbang tentang kewangan mereka.
“Ramai yang kecewa dengan kedua-dua pihak dan mereka bertekad untuk muncul sebagai calon kali ini. Oleh itu, jangan terkejut melihat pertembungan banyak penjuru pada pilihan raya ini,” katanya.
Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, harapan tinggi terhadap Warisan ketika parti itu berkuasa, tetapi pembangunan terhenti kerana wabak dan perubahan kerajaan di peringkat persekutuan.
“Sebagaimana mereka (Warisan) dapat memberikan perspektif ini kepada pengundi, hakikatnya rakyat akan cenderung mempersoalkan bagaimana mereka menyelesaikan dan mengurangkan masalah ekonomi (termasuk) ketika Covid-19,”katanya.
Projek mega, lantikan politik
Beliau berkata, pada pilihan raya lalu Warisan berjanji tidak akan mengulangi tindakan kerajaan terdahulu, misalnya tidak ada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Tetapi mereka tetap melakukannya (lantikan politik di GLC). Ini serupa dengan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno sebelum ini,” katanya.
Lee turut berkata, isu seperti projek mega Empangan Kaiduan dan Tanjung Aru Eco-Development (TAED) bernilai berbilion ringgit bakal menjadi tumpuan utama.
Kedua-duanya projek era BN yang mendapat banyak bantahan daripada orang ramai. Warisan dan sekutunya, ketika itu dalam pembangkang, berkempen menentang projek itu pada pilihan raya umum ke-14.
Namun, selepas mengambil alih pemerintahan, pembinaan Empangan Kaiduan yang sepatutnya di Penampang dipindahkan ke Papar dan dinamakan sebagai Empangan Papar.
Mengenai TAED, Shafie menafikan Warisan menentang projek kontroversi itu, dengan berkata rancangan adalah untuk mengecilkannya.
Serangan pembangkang, hujah Warisan
Sementara itu, Romzi Ationg juga dari UMS berkata, antara isu lain bakal dimainkan pembangkang adalah penghapusan had 2 penggal tempoh pemerintahan Yang di-Pertua Sabah dan kurangnya penyelarasan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan.
Katanya, pembangkang akan berusaha menggambarkan kerajaan pimpinan Warisan sebagai tidak cekap kerana ramai pemimpinnya tidak berpengalaman dan muda.
Namun, beliau berkata gabungan Warisan Plus berharap dapat menangani dengan menjayakan inisiatif yang dibuat selain mengatasi kegagalan pentadbiran negeri sebelumnya.
“Warisan akan memperlihatkan agihan hak milik tanah dan ‘Sabah untuk orang Sabah’. Mereka juga akan mendakwa pembangkang bersikap tamak dan amalan politik wang serta nepotisme dilakukan pembangkang dan kerajaan terdahulu.
“Selain itu, Warisan juga akan memainkan isu pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing selama pemerintahan BN dan budaya ‘politik katak’ antara parti lawan,” katanya.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/320JpDq
via IFTTT
No comments:
Post a Comment