KUALA LUMPUR: Sebahagian besar masyarakat gembira menyambut Hari Kebangsaan dengan mengibar Jalur Gemilang dan melaungkan kemerdekaan.
Namun, suasana itu nyata berbeza bagi mereka yang berpendapatan rendah kerana tidak bersemangat menyambutnya tatkala masih berdepan pandemik Covid-19 dan sekatan perintah kawalan pergerakan.
FMT sempat meninjau sebuah kawasan perumahan di PPR bagi mendalami kisah beberapa penduduk di situ yang menceritakan bagaimana mereka terus mematuhi lanjutan perintah kawalan pergerakan atau disebut sebagai ‘normal baharu’.
“Buat masa ini, tiada apa yang boleh disambut bagi kebanyakan kami yang tinggal di sini,” kata Mithraa, ibu tunggal kepada 3 anak. “Kos makanan meningkat dan ada banyak bil kena bayar. Ia sangat sukar dan saya tidak tahu apa yang perlu dibuat,” keluhnya.
Ada juga yang terpaksa berdepan pemotongan gaji. Mithraa, yang bekerja dalam sektor jualan, berkata pendapatannya dikurangkan separuh sejak PKP bermula pada Mac lalu.
Rakannya, Santhi Villaranam, bekerja sebagai tukang cuci tetapi salah sebuah pejabat yang biasa dibersihkannya telah ditutup sejak Mac dan pejabat lain hanya memperuntukkannya untuk bekerja selama 1 jam sehari.
“Macam mana saya boleh bayar semua benda?” tanya ibu kepada 3 anak itu. “Saya tidak fikir tentang merdeka. Saya lebih risau pasal beli makanan dan jaga anak-anak saya.”
Situasi hari demi hari terus bertambah buruk, ibarat tiada noktah. Malah mungkin juga bukan tahun depan.
“Harga sudah naik, dan saya sudah tak mampu beli ayam atau ikan. Saya harap kerajaan akan berusaha turunkan harga dan mencari jalan untuk mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik,” kata Santhi.
Seorang lagi jiran, Rose Jamaluddin, berkata anaknya kini diberhentikan kerja di sebuah tapak pembinaan. Ini menjadikannya semakin bimbang dengan masa depan.
“Pendidikan lebih baik untuk semua satu-satunya jalan keluar”
Sebahagian jiran mereka terpaksa berfikir secara kreatif dan menjadi usahawan kecil-kecilan. Ada yang kini mula menjual makanan dari warung tingkat bawah, sementara yang lain memulakan perniagaan pendawaian (wiring) secara “freelance”
Memikirkan masa depan, penduduk di situ yakin dalam jangka masa panjang, pendidikan menjadi kunci untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji tetap bagi anak mereka.
Ramesh, yang mengusahakan sebuah kedai runcit di flat itu menegaskan negara sepatutnya mempunyai visi untuk mengelakkan daripada pelaksanaan tindakan afirmatif yang beberapa dekad bergelut dalam sistem pendidikan.
“Kita semua mahukan pendidikan yang baik untuk anak-anak kita dan itu perlu menjadi suatu bidang yang setara,” katanya. “Setiap orang perlu mendapat layanan yang sama.”
Bagi seorang penduduk lain pula, Suhaimi Suji, bersetuju bahawa sekolah dan program kolej yang dirancang secara bersesuaian akan menjadi kunci kepada generasi muda Malaysia sebagai alat yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan yang moden dan sentiasa berkembang itu.
Memuji kerajaan kerana menyediakan pendidikan sekolah rendah dan menengah dengan percuma, Suhaimi berkata harapannya dapat melihat lebih banyak dasar dilaksanakan untuk membantu anak muda berkembang.
“Akhirnya, ini rumah mereka juga,” katanya. “Ke mana lagi mereka boleh pergi?”
Ketika lawatan ke PPR Desa Rejang minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa bangganya melihat kegigihan rakyat bekerja, dengan sebahagiannya membuat 2 atau 3 pekerjaan sehari untuk menampung pendapatan keluarga mereka.
Sub-head: “Orang muda sepatutnya tidak boleh terlalu memilih”
Seorang penduduk lain, Mohd Fakhrullah Hafiz Md Khalid, berkata Malaysia berkembang pesat sepanjang 6 dekad kemerdekaan selain berharap negara ini akan terus mengecapi kesejahteraan dan keharmonian.
“Ramai ahli politik cuba menggunakan bangsa dan agama untuk memecahbelahkan kita, tetapi kita tidak boleh biarkan mereka mempengaruhi kita,” katanya.
Dengan kadar pengangguran dalam kalangan belia meningkat sekitar 10%, Fakhrullah, yang menjalankan perniagaan menukar bateri kenderaan, berkata orang muda tidak sepatutnya terlalu memilih dalam mencari pekerjaan.
“Saya lihat ada banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia – terpulang sama ada mereka mahu atau tidak,” katanya. “Anda tidak akan boleh pergi jauh kalau anda malas. Anda perlu bekerja keras. Kalau tidak, anda tidak akan dapat apa-apa. ”
Pun begitu, ramai rakyat yang terdesak tidak dapat melihat jalan keluar dari keadaan mereka sekarang.
Walaupun pendapatan dan kualiti hidup sudah pasti meningkat sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, apa yang bermain di fikiran mereka sekarang adalah gaji yang rendah dan kos sara hidup tinggi, membuatkan ramai rakyat gigih berjuang untuk terus bertahan.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/32HlmIU
via IFTTT
No comments:
Post a Comment