Breaking news

Thursday 24 September 2020

Dakwaan Anwar akan cetus perlumbaan politik, kata penganalisis

Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti ‘meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baru semalam.

PETALING JAYA: Penganalisis menjangka pelbagai tindak-tanduk politik akan berlaku berikutan dakwaan Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan baru.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, sebelum Anwar diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, pihak yang bersaing mempunyai masa untuk mengatur langkah bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, gabungan baru Anwar perlu melalui banyak proses sebelum memperoleh persetujuan Agong untuk menubuhkan kerajaan.

Pada sidang media semalam Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti “kukuh dan “meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau juga berkata, Agong bersetuju untuk menerimanya menghadap, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Sultan Abdullah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Awang Azman berkata, Agong tentu mahu tahu nama ahli Parlimen yang menyokong Anwar dan mungkin juga parti yang menyertainya, rasional penglibatan mereka dan pendirian pemimpin parti berkenaan.

Katanya, banyak pihak sudah tentu meragui dakwaan Anwar kerana ia dibuat menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Azmi berkata, masa pengumuman itu dibuat kelihatan pelik kerana Agong masih berada di hospital dan PRN Sabah akan berlangsung pada Sabtu ini.

Bagaimanapun katanya, ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya negeri itu.

Beliau juga berkata, jika benar dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh, maka ia adalah berita baik kepada orang ramai kerana sebuah kerajaan yang stabil boleh ditubuhkan tanpa perlu melalui pilihan raya kilat.

“Kerajaan yang stabil yang tidak bimbang akan hilang majoriti secara teorinya akan menjadikan semua usaha mentadbir negara berada pada tahap kemampuan terbaik,” katanya.

Awang Azman bersetuju dengan berkata, kerajan dengan majoriti kukuh mempunyai ruang bernafas untuk memfokus kepada pengendalian wabak Covid-19 dan implikasinya yang meluas.

Katanya, dakwaan bahawa ahli Parlimen Umno beralih ke pihak Anwar adalah disebabkan rasa tidak puas hati mereka pada PPBM.

Beliau berkata, banyak pihak dalam Perikatan Nasional (PN) menggesa supaya pilihan raya kilat diadakan dan sokongan kepada Anwar itu mungkin bertujuan menghalang pembubaran Parlimen sebelum tarikh akhirnya pada 2023.

Menurut Anwar, gabungan barunya terdiri daripada rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH) serta ahli Parlimen dari blok kerajaan, tetapi tidak termasuk kumpulan Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen mereka.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3hRuEHS
via IFTTT

No comments:

Post a Comment