PETALING JAYA: Bekas pengarah tanah dan ukur Sabah memaklumkan bukan Musa Aman ketua menteri yang mewartakan tanah seluas 46.40 ekar di Sungai Mowtas, Sandakan sebagai kawasan Penempatan Pendatang Tanpa Izin Filipina.
Osman Jamal menjelaskan kawasan itu diwartakan bagi tujuan tersebut pada 1983, dan Musa sebaliknya mencadangkan pembubaran kawasan penempatan itu.
Menurutnya, Musa mengemukakan cadangan itu kepada Yang di-Pertua Sabah, Ahmadshah Abdullah, pada 6 Okt 2005.
“Berikutan cadangan tersebut, kawasan penempatan pendatang tanpa izin seluas 46.40 ekar dibubarkan melalui pewartaan G.N. 27 – 2006,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baki kawasan seluas 4.60 ekar dikekalkan sebagai Penempatan Pendatang Tanpa Izin Filipina, tambahnya.
“Musa mencadangkan pembubaran Penempatan Pendatang Tanpa Izin Filipina untuk kawasan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah melalui Kluster Industri Minyak Sawit Sandakan,” katanya.
Osman, yang juga Adun Balung dan pernah menjadi wakil rakyat Warisan, menjawab kenyataan bekas menteri pertanian dan industri pemakanan Sabah, Junz Wong berhubung pewartaan kawasan di Sungai Mowtas sebagai Penempatan Pendatang Tanpa Izin Filipina.
Junz dalam satu forum tentang pendatang tanpa izin dilaporkan meminta beberapa parti politik menjelaskan tentang pewartaan itu, yang menurutnya berlaku pada Januari 2006.
Osman menepis kenyataan Junz sebagai “tuduhan” yang mahu mengelirukan rakyat, kerana G.N. 27 – 2006 mencadangkan pembubaran kawasan penempatan pendatang tanpa izin yang diwartakan pada 1983.
“Perkara sebenar adalah sebaliknya,” katanya.
Musa merupakan ketua menteri dari 2003 hingga 2018.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZdWSGo
via IFTTT
No comments:
Post a Comment