KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua 1,292 kawasan dalam 7 wilayah yang terjejas akibat operasi 4 loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihentikan akibat pencemaran yang berpunca daripada sebuah kilang di Rawang pada 3 Sept lalu, pulih sepenuhnya.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, 7 wilayah itu ialah Klang atau Shah Alam, Petaling, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Lumpur.
“Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih atas kesabaran pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Sentiasa gunakan air dengan berhemat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Air Selangor menyarankan pengguna memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor menerusi “Google Play” atau “Apps Store” untuk maklumat terkini bekalan air.
Pengguna juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor, atau melayari www.airselangor.com untuk pertanyaan serta bantuan.
Lebih 1.2 juta akaun pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air sejak Khamis lalu selepas operasi 4 loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihentikan akibat pencemaran yang berpunca daripada sebuah kilang di Rawang.
Susulan itu, 4 beradik yang juga pemilik kilang disyaki menyebabkan pencemaran itu direman 6 hari bermula kelmarin dan akan didakwa di mahkamah Khamis ini di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Akta Industri Perkhidmatan Air.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3hcJUPc
via IFTTT
No comments:
Post a Comment