Breaking news

Monday 28 September 2020

Anjing terbiar rentas sempadan punca rabies menular di Malaysia, kata pakar

Seorang pemilik anjing bersama haiwan peliharaannya membuat suntikan vaksin di Kuching berikutan wabak rabies di Sarawak pada Jun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar perubatan berkata pergerakan bebas tanpa pengawasan anjing yang merentas sempadan dengan negara jiran menyebabkan Malaysia kehilangan statusnya sebagai negara bebas rabies selepas hanya 2 tahun.

Dr Rafdzah Ahmad Zaki dari Universiti Malaya berkata, “faktor utama kemunculan semula virus rabies adalah pergerakan anjing liar yang dijangkiti merentas sempadan.”

Katanya, statistik menunjukkan kebanyakan kes rabies di di Semenanjung dilaporkan di negeri yang bersempadan dengan Thailand, di mana rabies adalah endemik.

Beliau berkata, kadar kejadian penyakit itu tinggi di Thailand membabitkan manusia dan anjing.

“Sebelum 2015, kebanyakan kes rabies dilaporkan di negeri utara. Penularannya di Perlis dan Kedah dianggap berasal dari Thailand melalui jalan darat.

“Sebilangan kejadian penyakit itu di Pulau Pinang dan Terengganu juga dikaitkan dengan anjing yang dibawa dengan bot nelayan dari Thailand.

“Di Sarawak, sumber virus itu dikesan pada anjing berkeliaran bebas yang dilihat bergerak merentas sempadan dengan Kalimantan Barat.”

Katanya, walaupun pemvaksinan anjing adalah satu-satunya langkah paling berkesan untuk melindungi manusia daripada rabies, pergerakan anjing liar akan menjejaskan usaha tersebut.

“Vaksinasi perlu meliputi sekurang-kurangnya 70% populasi anjing.”

Malaysia diisytiharkan bebas rabies oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia pada 2013 dengan catatan terakhir kes membabitkan manusia pada 1998 dan kes anjing pada 1999.

Bagaimanapun, wabak rabies berlaku pada Julai 2015 di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Pada Jun 2017, wabak itu dicatat di Sarawak.

Rafdzah berkata, wujud kurang kesedaran mengenai epidemik itu, terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Masyarakat perlu sedar betapa pentingnya mendapatkan rawatan awal dan lokasi di mana rawatan itu disediakan.

“Kalau seekor anjing yang dijangkiti rabies menggigit seseorang, satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa adalah dengan membuat rawatan luka yang betul, profilaksis pasca-pendedahan dan imunoglobulin rabies.

“Akses kepada kemudahan dengan rawatan yang sesuai di daerah berisiko tinggi seperti kampung berdekatan sempadan juga sangat penting.”

Jelas beliau, rabies dapat dicegah melalui pengurusan anjing, kawalan sempadan, kesedaran lebih baik dalam kalangan masyarakat dan penambahbaikan akses kepada vaksin rabies yang murah dan berkualiti tinggi.

“Kita perlu ada mekanisme untuk melindungi sempadan daripada masuknya haiwan yang dijangkiti. Ini memerlukan kedua-duanya, iaitu meningkatkan prosedur kawalan import ke atas anjing yang dibawa masuk secara sah dan meningkatkan saringan untuk mengesan anjing import yang tidak sah.

“Kita perlu memperkuatkan kapasiti Perkhidmatan Veterinar dan Kesihatan Manusia bagi menyokong aktiviti pencegahan rabies dan kawalan aktiviti, termasuk integrasi sistem pengawasan haiwan dan manusia,” tambahnya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2HtDRcK
via IFTTT

No comments:

Post a Comment