Breaking news

Wednesday 23 September 2020

Anak perempuan Karpal Singh mahu presiden mahkamah perjelas jika afidavit hakim ikut fakta

Sanjeet Kaur Deo berkata, kandungan afidavit Hamid Sultan Abu Backer sepatutnya disiasat sebelum notis tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya oleh Jawatankuasa Etika Hakim.

PETALING JAYA: Seorang peguam mahu jawapan daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusof sama ada siasatan dalaman diadakan untuk menentukan kebenaran satu afidavit yang disahkan hakim kanan.

Sangeet Kaur Deo berkata, kandungan afidavit Hamid Sultan Abu Backer sepatutnya disiasat sebelum notis tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya oleh Jawatankuasa Etika Hakim.

“Badan kehakiman sendiri perlu bertindak telus untuk kekal bertanggungjawab,” katanya merujuk afidavit Hamid untuk menyokong tuntutannya awal tahun lalu.

Hamid yang juga hakim Mahkamah Rayuan, mendakwa hakim kanan campur tangan dalam keputusan banyak rayuan, termasuk kes hasutan mendiang Karpal Singh.

Karpal, yang merupakan bapa Sangeet, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 17 April 2014.

Sangeet berkata, beliau menulis surat kepada Rohana, yang merupakan bos terdekat Hamid, awal tahun ini, tetapi tiada jawapan.

Bulan lalu, FMT melaporkan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Hamid berhubung afidavit itu dan keputusan yang beliau buat dalam satu rayuan jenayah membabitkan 2 warga Nigeria.

Hamid, yang mengetuai panel 3 hakim, antara lain, menyatakan badan kehakiman diharapkan bertindak sebagai semak dan imbang terhadap eksekutif dan perundangan seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sangeet berkata, beliau menulis sepucuk lagi surat kepada Rohana bulan lalu untuk mengetahui sama ada siasatan dalaman dilakukan ke atas afidavit itu memandangkan surat tunjuk sebab sudah dikeluarkan.

“Belum ada jawapan daripada beliau,” katanya.

Dua minggu lalu, Hamid dilaporkan menghantar respons “mengejutkan” terhadap notis tunjuk sebab itu.

Sumber memberitahu FMT, difahamkan hakim kanan, yang dijadualkan bersara tahun depan, bersetuju dengan keseluruhan kandungan afidavit itu dan juga 101 halaman penghakiman yang disampaikan beliau pada awal Jun.

Hamid pada mulanya mendedahkan dakwaan campur tangan kehakiman itu dalam sebuah persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur pada Ogos 2018.

Sangeet kemudian memfailkan samannya terhadap ketua hakim negara atas kegagalannya mempertahan dan melindungi integriti badan kehakiman, tetapi ia ditolak Oktober lalu.

“Saya turut menarik balik rayuan saya pada Februari tahun ini untuk membolehkan Rohana melakukan siasatan dalaman.”

Dalam afidavit itu, Hamid mendakwa seorang hakim kanan campur tangan dalam keputusan majoriti rayuan Karpal.

Hakim Mohtarudin Baki dan Kamardin Hashim mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi, sementara Tengku Maimun, yang kini ketua hakim negara, tidak setuju.

Namun, pada 29 Mei 2019, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan balu Karpal, Gurmeet Kaur, yang turut menyokong penemuan Tengku Maimun.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/365f7SF
via IFTTT

No comments:

Post a Comment