Breaking news

Friday 25 September 2020

36 jam sebelum pengundian, pemenang PRN Sabah masih samar, kata penganalisis

Penganalisis berkata prestasi parti dalam pusingan terakhir kempen mereka akan menjadi sangat penting.

KOTA KINABALU: Kurang 36 jam sebelum pengundian bermula, masih belum ada indikator yang jelas parti politik mana bakal memenangi pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16, Sabtu ini.

Ia masih menyaksikan persaingan sengit terutama antara 2 pesaing utama – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus dalam menentukan gabungan parti politik mana yang bakal mentadbir Sabah bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Peluang kedua-dua pihak meraih kemenangan masih terbuka secara sama rata atau 50-50 dan apa yang mampu mereka lakukan serta siapa yang berjaya menawan hati dan minda pengundi dalam tempoh beberapa jam sebelum kempen berakhir bakal menjadi penentu nasib mereka.

Ini adalah rumusan yang dibuat oleh Zaini Othman, seorang penganalisis politik yang turun ke lapangan dan menjalankan kajian di kebanyakan kawasan di negeri yang menawarkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk direbut.

Zaini Othman

Zaini, yang juga Penyelidik Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata ketiadaan indikator jelas adalah disebabkan kehadiran pilihan raya ini seolah-olah ‘bomb shell’ atau 1 kejutan besar sehingga semua parti politik yang terlibat malah pengundi sendiri tidak cukup bersedia untuk menghadapinya.

Implikasinya, kata Zaini, boleh dikatakan rata-rata parti politik yang bertanding menghadapi kemelut pertelagahan dalaman disebabkan rasa tidak puas dengan pelbagai keputusan yang dibuat secara terburu-buru termasuk aspek pemilihan calon.

Konflik dalaman parti itu pula membawa kepada implikasi lain terhadap parti termasuk unsur sabotaj, bertanding sebagai calon Bebas menentang parti sendiri atau pun mengaktifkan parti yang sudah terkubur untuk dijadikan sebagai platform bertanding dalam pilihan raya ini.

“Sebab itu, tidak hairan apabila jumlah 447 calon yang bertanding pada PRN ini lebih besar daripada jumlah calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang melibatkan kerusi DUN dan Parlimen,” katanya.

Syahruddin Awang Ahmad

Beliau berkata hasil kajiannya menunjukkan isu domestik lebih dominan berbanding isu nasional malah isu terbaharu berhubung dakwaan kononnya akan berlaku perubahan pentadbiran Putrajaya dianggap sebagai isu ‘kosmetik’ sahaja yang tidak memberi kesan kepada keputusan pilihan raya negeri ini.

Sependapat dengan Zaini ialah seorang lagi penyelidik GeOPeS UMS, Syahruddin Awang Ahmad yang berkata kemenangan mana-mana blok Warisan Plus dan GRS masih belum dapat dijangka kerana masing-masing mempunyai merit dan demerit baik dari segi penggarapan mesej kempen serta bahan bagi menjawab isu setempat yang dibangkitkan rakyat.

Katanya persaingan antara Warisan Plus dan GRS amat sengit pada pilihan raya kali ini dan hanya sebilangan kerusi dijangka menyaksikan majoriti besar manakala selebihnya, terutama yang menyaksikan pertandingan banyak penjuru, dijangka merekodkan majoriti kecil kerana berlaku pecah undi.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah manakala Warisan Plus meliputi Warisan, DAP dan Amanah serta sekutu UPKO dan PKR.

“Kemenangan masih belum dapat dijangka sehingga malam sebelum pengundian kerana isu-isu yang timbul dalam lewat minggu pertama hingga minggu ke-2 kempen menjadi liabiliti kepada calon dan parti di kedua-dua blok Warisan Plus dan GRS.

Romzi Ation

Bagaimanapun, Syahruddin berkata elemen magis daripada kedua-dua blok sudah tentu akan memberi makna kepada kempen yang berlangsung selama 2 minggu ini, antaranya janji-janji politik dan jaminan pucuk pimpinan parti masing-masing bagi menambat hati pengundi.

Bagi Romzi Ationg yang juga penyelidik politik UMS, momentum kempen semua parti makin meningkat sehingga 80% dan ini dapat dibuktikan menerusi bilangan poster calon bertanding yang semakin banyak selain keberadaan calon di lapangan hampir 24 jam.

Romzi berpendapat Warisan Plus semakin mendapat perhatian rakyat, pun begitu bukan sesuatu yang mudah bagi gabungan itu untuk memenangi hati pengundi pada PRN Sabah kali ini kerana GRS masih mempunyai penyokong kuat di banyak kawasan DUN.

“Pada peringkat ini, saya melihat peluang untuk menang antara Warisan Plus dan GRS kekal 50:50,” katanya.

PRN Sabah menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti bertanding di 73 kerusi DUN dengan bilangan pengundi seramai 1.12 juta orang.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2FQfkyp
via IFTTT

No comments:

Post a Comment