Breaking news

Thursday 17 September 2020

2 rakyat Malaysia antara 7 didakwa AS dalam siasatan godam

Dua ahli perniagaan Malaysia, Wong Ong Hua, 46, dan Ling Yang Ching, 32, didakwa bersubahat dengan 2 penggodam untuk mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer yang menyasarkan syarikat permainan video di AS, Perancis, Jepun, Singapura serta Korea Selatan.

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Rabu berkata, ia mendakwa 5 warga China dan 2 ahli perniagaan Malaysia dalam penggodaman meluas yang menyasarkan syarikat permainan video sehingga aktivis pro-demokrasi.

Pendakwa raya persekutuan berkata, warga China itu sudah didakwa menggodam lebih 100 syarikat di AS dan luar negara, termasuk syarikat membangunkan perisian, pengeluar komputer, penyedia telekomunikasi, syarikat media sosial, firma permainan video, badan pemikir, universiti, organisasi tidak berkeuntungan, kerajaan asing, ahli politik dan tokok masyarakat awam di Hong Kong.

Pegawai AS bagaimanapun tidak lagi menuduh penggodam itu bekerja untuk Beijing, tetapi Timbalan Peguam Negara, Jeffrey Rosen dalam satu kenyataan kesal dengan pihak berkuasa China yang – sekurang-kurangnya – tidak mengendahkan pengintipan siber.

“Kita tahu pihak berkuasa China setidaknya boleh bertindak seperti agensi penguatkuasa undang-undang di sini dan negara lain untuk mengambil tindakan terhadap pencerobohan komputer. Tetapi mereka memilih tidak berbuat demikian.”

Beliau turut mendakwa seorang daripada defendan China itu bermegah kepada seorang rakannya yang dia “sangat rapat” dengan Kementerian Keselamatan Negara China dan akan dilindungi “kecuali perkara sangat besar berlaku”.

“Tiada kerajaan bertanggungjawab yang sengaja melindungi penjenayah siber menyasarkan mangsa di seluruh dunia.”

Kedutaan China di Washington tidak memberi respons untuk komen.

Beijing berulang kali menafikan ia bertanggungjawab dalam penggodaman, ketika pihak berkuasa AS melakukan banyak pendakwaan.

Pendakwa raya AS turut mendakwa 2 ahli perniagaan Malaysia, Wong Ong Hua, 46, dan Ling Yang Ching, 32, yang didakwa bersubahat dengan 2 pengintip digital itu untuk mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer yang menyasarkan syarikat permainan video di AS, Perancis, Jepun, Singapura serta Korea Selatan.

DoJ berkata, 2 tertuduh itu beroperasi melalui sebuah firma Malaysia dikenali sebagai “SEA Gamer Mall”. Mesej yang dihantar kepada syarikat itu dan alamat e-mel yang didakwa dikendalikan penggodam tidak dijawab.

Semalam, Penolong Peguam Negara AS untuk Keselamatan Negara, John Demers berkata 2 tertuduh dari Malaysia itu sudah ditahan, tetapi mereka mungkin membantah untuk diekstradisi.

DoJ berkata, ia sudah mendapat waran geledah bulan ini yang menyebabkan rampasan ratusan akaun, pelayan, nama domain dan laman web “dead drop” yang digunakan penggodam untuk membantu mencuri data daripada mangsa mereka.

Katanya, Microsoft Corp sudah mempunyai penyelesaian untuk menyekat penggodam dan tindakan syarikat itu “ialah bahagian penting” daripada usaha keseluruhan AS untuk menangani mereka.

Syarikat itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang memuji pegawai kerajaan “mengambil tindakan untuk melindungi pelanggan kami”.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3iEqUuu
via IFTTT

No comments:

Post a Comment