BERLIN: Hospital di Berlin yang merawat pengkriitik utama Kremlin, Alexei Navalny, pada Isnin memberitahu hasil ujian menunjukkan beliau diracun, tetapi doktor Rusia segera membalas mereka tidak menemui toksin yang dikatakan itu.
Pendedahan itu mendorong Canselor Jerman, Angela Merkel menggesa pihak berkuasa Rusia memastikan pihak berkaitan dipertanggungjawabkan.
Ketua pembangkang berusia 44 tahun itu dibawa ke ibu negara Jerman pada Sabtu, selepas jatuh sakit di Siberia hujung minggu lalu dengan doktor Rusia menyalahkannya atas gangguan metabolik.
Tetapi, Hospital Charite yang terkenal di Berlin pada Isnin berkata, ujian klinikal ke atas Navalny “menunjukkan keracunan dengan bahan daripada kumpulan penyekat kolinesterase”.
Kolinesterase ialah enzim yang diperlukan sistem saraf pusat untuk berfungsi dengan baik.
Penyekatnya digunakan untuk membuat ubat, racun serangga dan juga agen saraf seperti sarin.
“Prognosis Alexei Navalny masih tidak jelas; kemungkinan kesan jangka panjang, khasnya yang menjejaskan sistem saraf, tidak dapat dikecualikan.
“Walaupun keadaannya serius, ia tidak mengancam nyawa buat masa ini,” kata hospital itu di Twitter sambil menambah Navalny yang dirawat di unit rawatan rapi, masih koma akibat ubat.
Jurucakap Navalny, Kira Yarmysh menerusi Twitter berkata, keracunannya “bukan lagi hipotesis, tetapi fakta”.
Ketua Diplomatik Kesatuan Eropah, Josep Borrell menggesa pihak berkuasa Rusia melancarkan “siasatan bebas dan telus” ke atas keracunan Navalny.
“Kesatuan Eropah mengecam apa yang dilihat sebagai cubaan ke atas nyawa Navalny,” kata Borrell di Brussels.
Navalny, tokoh pembangkang paling terkenal di Rusia, dibawa ke unit rawatan rapi di Siberia Khamis lalu, selepas pesawatnya membuat pendaratan cemas di bandar Omsk.
Penyokongnya percaya beliau diracun dengan sesuatu yang dicampur dalam cawan tehnya di lapangan terbang sebelum beliau berlepas, sambil menyalahkan Presiden Vladimir Putin.
Tetapi, Alexandre Sabayev, ketua pakar toksikologi di Hospital Kecemasan Omsk No 1, memberitahu agensi Rusia yang mereka menjalankan ujian ke atas Navalny untuk “pelbagai bahan narkotik, sintetik, psikedelik dan ubat-ubatan, termasuk penyekat kolinesterase”.
“Hasilnya negatif.”
Navalny diterbangkan ke Berlin dengan pesawat perubatan sewa khas oleh NGO Cinema for Peace di Jerman, inisiatif yang dibiayai penderma peribad, selepas Merkel menawarkan rawatan untuk beliau di negara itu.
Doktor yang merawatnya di Omsk pada mulanya enggan membenarkan Navalny meninggalkan hospital itu, tetapi mereka mengubah fikiran selepas keluarga dan pekerjanya menuntut beliau dibenarkan pergi ke Jerman.
Yarmysh mendakwa keengganan Rusia memindahkannya sebagai helah untuk “melengah-lengahkan masa” dan mengesan racun itu.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3jabu0P
via IFTTT
No comments:
Post a Comment