![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2020/08/BN-Warisan-150820-21.jpg)
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mungkin dalam masalah jika parti itu gagal memenangi lebih 25 kerusi pada Pilihan Raya Negeri di Sabah bulan depan.
Saintis politik, Wong Chin Huat dari Pusat Jeffrey Sachs mengenai Pembangunan Mampan, berkata pada Pilihan Raya Umum ke-14, Umno memenangi 17 daripada 33 kerusi yang ditandinginya, dengan 8 daripadanya melompat ke Warisan dan Upko, manakala 8 lagi ke PPBM.
Dengan keseluruhan 73 kerusi yang dipertandingkan kini, beliau percaya Umno mahu bertanding lebih 40 kerusi dan PPBM ingin mempertahankan 8 kerusi daripada Umno.
“Bagi PPBM mempertahankan kira-kira 8 kerusi sudah menjadi kemenangan. Untuk Umno, kegagalan mendapatkan kira-kira 25 hingga 30 kerusi akan menjadi tamparan besar.”
![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2020/08/wong-chin-huat-mugshot-200x200_1.jpg)
Selain dinamik Umno-PPBM, keadaan pembangkang di negeri itu dirumitkan oleh perpecahan dalam kepimpinan Umno, dengan sekurang-kurangnya separuh daripada ketua bahagian membantah pelantikan Bung Moktar Radin sebagai ketua jentera pilihan raya Barisan Nasional.
Difahamkan, mereka yang menentang pelantikan Bung itu mahu bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman mengetuai jentera BN. Zahid bagaimanapun mempertahankan keputusannya melantik Bung.
Wong berkata, beberapa persoalan tidak dijawab.
“Adakah PPBM akan diperuntukkan 8 kerusi yang dibawakan pembelot Umno? Jika ya, adakah akar umbi Umno akan memboikot kempen PPBM di sana?
“Juga, adakah Bung akan memilih semua calon Umno dan mengetepikan orang Musa? Jika mencapai kemenangan tipis dan kuasa Musa menjadi lemah, adakah pemimpin PPBM yang dihormati, Hajiji Mohd Noor atau Masidi Manjun akan muncul sebagai calon kompromi ketua menteri berbanding Bung?”
Wong berkata, PRN Sabah akan menjadi medan ujian untuk persaingan kerusi Umno-PPBM. Jika prestasi mereka teruk dalam 17 kerusi yang dimenangi Umno pada PRU14, ia mungkin disebabkan persaingan mereka.
“Jika prestasi PPBM lebih baik daripada Umno, mereka akan berada dalam kedudukan lebih kuat untuk berunding pengagihan kerusi pada PRU akan datang.
“Suara dalam Umno yang mengkritik pemimpin menghadapi perbicaraan akan bertambah kuat, walaupun saya tidak fikir kedudukan Zahid akan dicabar segera sebelum mahkamah menyampaikan keputusan dalam kes rasuahnya.”
Bagi Umno Sabah, katanya, jika parti itu tidak melakukan dengan baik disebabkan persaingan antara Musa dan Bung, ia patut beralih kepada “wajah baru yang lebih bersih” seperti Abdul Rahman Dahlan.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia percaya Rahman yang akan dipersalahkan untuk kekalahan Umno di Sabah kerana beliau mengetuai bantahan terhadap pelantikan Bung.
Katanya, Bung kekal tenang dalam menghadapi bantahan itu dan mengelakkan isu terbabit bertambah teruk.
“Kekalahan akan menjadi tamparan kepada Umno, tetapi ia tidak akan menjadi malapetaka besar untuk Umno atau Zahid,” katanya sambil menambah kekalahan dalam PRN Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan Zahid.
Jika Umno tewas, PPBM tidak akan mendapat manfaat dalam permainan kuasa kerana kerusi Parlimen tidak dipertandingkan dalam PRN.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3lhCZYn
via IFTTT
No comments:
Post a Comment