PETALING JAYA: Kumpulan kesihatan meminta Putrajaya menilai penutupan sekolah semula dengan berhati-hati dan teliti, selepas seorang pelajar sekolah rendah di Sabah disahkan positif Covid-19.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, sebarang keputusan penutupan sekolah perlu mengambil kira kesan ke atas perkembangan awal kanak-kanak.
Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata kanak-kanak akan terjejas dari segi akademik dan mental jika mereka tidak dapat ke sekolah.
“Bagaimanapun, sekolah perlu ditutup buat sementara jika kes di kawasan terjejas meningkat secara mendadak,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pengesanan kontak secara meluas, saringan disasarkan dan pengasingan pesakit di bawah siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu, jika hanya ada beberapa kes dilaporkan di sekolah.
Katanya, selain di sekolah, pematuhan SOP yang ketat dan langkah pencegahan di rumah dan tempat awam akan menjadi kunci untuk mengelakkan penutupan sekolah semula.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Putrajaya sedang mempertimbangkan kemungkinan menutup semula sekolah selepas seorang pelajar di Sabah didapati positif Covid-19.
Bagaimanapun, menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, sesetengah kajian luar negara menunjukkan penutupan sekolah mungkin tidak memainkan peranan besar dalam membendung penularan virus itu.
Ketua Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, sekolah perlu menggunakan strategi seperti penjarakan meja, waktu rehat dan sekolah bermula secara berperingkat, mengurangkan hari persekolahan dan melaksanakan langkah mencuci tangan dan permukaan secara kerap.
Berdasarkan kajian sedia ada, katanya, terdapat kemungkinan besar pelajar dijangkiti virus itu, walaupun usaha terbaik dilakukan, tetapi mereka mungkin tidak akan jatuh sakit.
Sekolah di seluruh negara ditutup hampir 4 bulan akibat pandemik itu dan dibuka semula secara berperingkat sejak 24 Jun lalu. Pelajar Tahun 1 hingga 4 kembali ke sekolah pada 22 Julai lalu.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3gjVAA7
via IFTTT
No comments:
Post a Comment