KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof hari ini membidas naib presiden PKR yang didakwanya membuat tuduhan tidak berasas kononnya kerajaan tidak bertindak proaktif dalam menangani keadaan Covid-19 dan menyiapkan beberapa hospital di Sarawak.
Beliau berkata, tuduhan Dr Michael Teo itu tidak betul kerana walaupun semasa memerangi pandemik Covid-19, kerajaan melakukan yang terbaik bagi membekalkan keperluan penting kepada orang ramai, termasuk memastikan kemudahan yang mencukupi kepada semua.
“Ini kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau perkembangan kemajuan projek dan mengambil segala langkah yang perlu ke arah menyegerakan pelaksanaannya walaupun berhadapan dengan kekangan yang tidak dapat dielakkan (berhadapan dengan pandemik),” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab tuduhan Teo, yang disiarkan oleh media tempatan semalam.
Teo dalam sebuah portal media dilaporkan menggesa kerajaan bertindak lebih proaktif dalam menyegerakan kerja-kerja projek pembinaan hospital di Sarawak.
“Tindakan pemimpin PKR yang cuba mengaitkan kelewatan projek pembinaan hospital dengan kekurangan tempat untuk merawat pesakit Covid-19 adalah tidak benar sama sekali.
“ia boleh dianggap sebagai usaha memainkan persepsi dan memesongkan fakta semata-mata untuk kepentingan politik mereka,” kata Fadillah, yang menambah cara kerajaan menangani Covid-19 telah diiktiraf antara terbaik di dunia.
Merujuk kepada kelewatan penyiapan Hospital Petra Jaya, Fadillah berkata, status semasa adalah di peringkat penilaian tender oleh JKR serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya pengeluaran Surat Setuju Terima disasar hujung Disember ini dan tarikh serahan pemilikan di tapak pembinaan pada Januari tahun depan.
Berhubung pelaksanaan projek Hospital Lawas (76 katil) pula katanya, pelaksanaan pembinaan projek itu bermula pada 30 Jun lepas dan ia dijangka siap pada hujung 2023.
Katanya, sehingga 31 Julai lepas peratus pencapaian projek itu adalah 0.13%.
Beliau berkata, projek Hospital Sri Aman sedang dilaksanakan dengan aktif dan dipantau rapi oleh JKR dengan mengadakan mesyuarat koordinasi dan pemeriksaan bersama yang kerap bagi memastikan pelaksanaannya tepat pada sasaran Februari 2021.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/34MZjTS
via IFTTT
No comments:
Post a Comment