PETALING JAYA: Seorang perunding didakwa melanggar undang-undang melobi di Amerika Syarikat dengan cuba mendapatkan kerajaan pimpinan Donald Trump menggugurkan siasatan ke atas 1MDB, lapor AP.
Menurut laporan itu, Nickie Lum Davis didakwa bekerjasama dengan pengumpul dana yang mempunyai hubungan politik dengan Trump supaya Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menggugurkan dakwaan pelucutan hak ke atas ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Pendakwa raya tidak mengenal pasti identiti pengumpul dana itu, tetapi laporan itu berkata, gambarannya di dalam dokumen mahkamah sepadan Elliott Broidy, bekas naib ketua Jawatankuasa Pelantikan Trump.
Laporan itu merujuk pendakwa raya sebagai berkata, Jho Low menawarkan bayaran retainer AS$8 juta untuk pelobian haram dan tambahan AS$75 juta, jika perkara itu dapat diselesaikan dalam 75 hari.
Mereka berkata, pengumpul dana itu mencadangkan pertemuan di Bangkok pada Mei dan wang itu perlu “bersih”, di mana Jho Low kemudiannya mengenal pasti seorang rakan yang akan mengendalikan bayaran itu.
Davis didakwa di Mahkamah Persekutuan Honolulu Isnin lalu kerana melanggar Akta Pendaftaran Ejen Asing, yang mengkehendaki kebanyakan perunding yang melobi atau membantu hubungan awam di AS bagi syarikat, kerajaan, parti politik dan warga asing mendedahkan butiran terperinci mengenai tugas serta bayarannya.
Akta Pendaftaran Ejen Asing bertujuan menghalang warga asing mempengaruhi politik AS dan dasar awam secara curi-curi.
Pendakwa raya berkata, Davis tidak mendedahkan usaha melobi yang dilakukan bagi pihak Jho Low kepada kerajaan persekutuan.
Wanita itu turut didakwa cuba mengatur pertemuan dengan DoJ untuk melobi pemindahan seorang penentang China yang tinggal di AS dengan visa sementara.
Jho Low didakwa AS pada 2018 berhubung dakwaan pengubahan wang.
Tahun lalu, DoJ mencapai penyelesaian sivil untuk mendapatkan semula lebih AS$700 juta aset dapat dikesan kepada 1MDB.
Jho Low secara konsisten menegaskan dirinya tidak bersalah.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2CZvW5g
via IFTTT
No comments:
Post a Comment