Breaking news

Monday, 24 August 2020

Perniagaan tradisional lonjak selepas transformasi digital

Nasi Ayam Hainan di Putrajaya yang beroperasi kira-kira setahun lalu.

PETALING JAYA: Rosnani Abdul Kadir merasakan dirinya bagaikan mendapat tamparan besar ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu kerana pelanggan dilarang makan di dalam premis.

Wanita itu bimbang restoran Nasi Ayam Hainannya di Putrajaya, yang baru beroperasi kira-kira setahun lalu, tidak dapat bertahan.

Perniagaan sudah perlahan sebelum PKP dilaksanakan, sambil dia menunggu setiap hari dengan penuh harapan supaya pelanggan baru datang ke restorannya.

“Saya terpaksa memikirkan cara untuk meningkatkan jualan kerana pelanggan tidak lagi dapat makan di restoran. Oleh itu, pilihan terbaik adalah GrabFood. Seorang rakan yang memiliki restoran memperkenalkannya kepada saya,” katanya kepada FMT.

Rosnani Abdul Kadir

Apa yang mengejutkannya, prosedur menyertai platform itu berjalan lancar dan mudah difahami. Dia berasa akhirnya keadaan bertambah baik.

“Seorang perunding dari Grab datang untuk mendaftarkan kami. Saya hanya perlu menyerahkan dokumen. Dia mengajar kami semua, dari A hingga Z.

“Permohonan saya diluluskan dalam tempoh 3 minggu, jadi saya dapat memulakan operasi dalam talian dengan segera,” katanya.

Selepas bertukar ke kaedah digital, jualannya meningkat sebanyak 80%. Sebelum ini, pendapatannya sekitar RM2,000 sehari, kini ia meningkat 2 kali ganda berkat platform dalam talian.

Platform digital bukan saja membolehkan pelanggannya membuat pesanan melalui penghantaran, malah ia membantu mengiklankan kedainya kepada pelanggan berpotensi.

Kini, di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), pelanggan Rosnani tidak lagi terhad kepada penduduk sekitar Putrajaya, malah ada yang datang dari Kajang, Bangi, Puchong dan sejauh Nilai.

“Ini kerana mereka yang memesan melalui Grab ketika PKP sekarang tahu kedai kami. Jadi, sekarang mereka tidak pesan melalui Grab, mereka datang ke kedai,” katanya sambil memaklumkan perniagaannya amat bagus sehingga dia perlu mengambil 2 pekerja baru untuk menangani peningkatan pesanan.

Selepas melihat sendiri manfaat menggunakan digitalisasi dalam perniagaan, Rosnani kini mahu mengembangkan lagi perniagaannya melalui bidang digital.

Katanya, dia berterima kasih kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang memainkan peranan penting dalam mempromosi perniagaannya, sambil menambah dia akan mempertimbangkan mengikuti beberapa kursus MDEC, jika masa mengizinkan.

Seorang lagi pemilik restoran, Mohamad Tajularus Abdul Wahab, yang menjalankan perniagaan Nasi Tomato Batu Lanchang di Pulau Pinang, bersyukur dengan platform penghantaran dalam talian yang membantu meningkatkan perniagaan restoran keluarganya, yang beroperasi lebih 20 tahun.

Bercakap kepada FMT, dia berkata, penggunaan digitalisasi dalam perniagaannya membantu restoran itu terus berkembang dengan pertambahan pelanggan berbanding hanya bergantung kepada pelanggan biasa.

Katanya, ini lebih penting bagi restoran kerana platform penghantaran dalam talian menjadi talian hayat mereka ketika pelaksanaan PKP.

Seorang rakan memberitahunya mengenai GrabFood dan membantu dia mendaftarkan perniagaannya di platform itu.

“Prosesnya mudah dan sepanjang PKP, jualan dibuat daripada platform ini meningkat secara mendadak,” katanya sambil menambah keseluruhan perniagaannya meningkat 40%.

“Selepas itu, perniagaan bertambah rancak kerana kerajaan memberikan insentif penggunaan e-wallet. Jadi, sebilangan pelanggan menggunakan e-wallet mereka untuk memesan, sama ada membuat pesanan dalam talian atau makan di sini,” kata Tajularus, yang mengendalikan perniagaan keluarga itu 7 tahun lalu.

Katanya, platform itu memudahkan perniagaan kecil untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran kerana syarikat itu menyediakan penunggang berbanding tahun sebelumnya ketika premis makanan perlu mengambil penghantar sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Baru-baru ini, MDEC dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan gerakan #SayaDigital. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, mereka mahu memperkasakan rakyat supaya mereka boleh menggunakan kemahiran digital dan teknologi secepat mungkin.

“Ini akan membolehkan mereka memanfaatkan peluang yang ditawarkan ekonomi digital negara. Tujuan utama gerakan ini ialah mempercepatkan masyarakat digital dan memacu negara untuk membuat lonjakan digital ke era Revolusi Industri ke-4 (4IR) bagi mencapai kemakmuran bersama untuk semua,” katanya.

Pelbagai program seperti PeDAS, eUsahawan, eRezeki, 100 Go Digital, Go-eCommerce dan eBerkat disediakan untuk membantu mengembangkan digitalisasi perniagaan tempatan.

Bulan ini, #SayaDigital akan menampilkan beberapa program diterajui MDEC, menyediakan pelbagai kaedah untuk perniagaan menceburi bidang digital dan membolehkan rakyat mahir secara digital dengan pantas dan beramai-ramai.

Dua minggu pertama gerakan #SayaDigital memfokuskan peningkatan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan, manakala 2 minggu terakhir memberi peluang kepada rakyat untuk belajar dan meningkatkan kemahiran digital mereka.

Sidang Kemuncak Digital PKS baru-baru ini, yang julung kali di Malaysia, menarik lebih sejuta peserta yang mempelajari dan melaksanakan solusi digital untuk memulakan atau mengembang perniagaan mereka.

“Dalam melibatkan pelbagai segmen di seluruh Malaysia, daripada pengusaha mikro dan PKS hingga pekerja gig, perniagaan dan pelajar, program khusus #SayaDigital menyediakan segalanya yang mungkin bagi mereka yang ingin melakukan lonjakan digital dan mengadaptasi normal baru dengan jayanya,” kata Surina.

Layari www.mdec.my/sayadigital untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana #SayaDigital dapat membimbing perjalanan anda melalui digitalisasi.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/34ydc82
via IFTTT

No comments:

Post a Comment