PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk fokus mencipta pekerjaan dan memberikan bantuan kepada penganggur dalam usaha mengatasi kadar perbelanjaan pengguna yang lembab.
Dua pakar ekonomi memaklumkan kepada FMT, perusahaan kecil, perniagaan makanan dan minuman serta pelancongan juga perlu diberikan perhatian.
Profesor ekonomi di Sunway University Yeah Kim Leng berkata, ekonomi masih berada pada garis rata kerana faktor luaran dan perbelanjaan pengguna yang lemah. Sektor pelancongan paling teruk terjejas manakala sektor lain semakin pulih namun tidak cukup pantas, dengan permintaan asing dan tempatan yang lemah.
“Ia masih menjadi tanda tanya untuk melihat seberapa cepat PKS akan pulih. Ketidaktentuan ini mengurangkan perbelanjaan pengguna kerana mereka berhati-hati dengan wang mereka,” katanya.
Cara untuk menangani masalah ini adalah dengan memastikan PKS menerima lebih banyak bantuan daripada kerajaan untuk melangkah ke tahap bertahan hingga ke pemulihan.
Minggu lalu Jabatan Perangkaan mendedahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menyusut 17.1% pada suku ke-2 tahun ini, susulan sekatan akibat perintah kawalan pergerakan. Angka itu adalah yang terendah sejak krisis kewangan 1998.
Seorang lagi pakar ekonomi, Hoo Ke Ping yang juga penasihat di Institut Strategik Kingsley berkata, penguncupan 17% menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih baik daripada negara lain yang mengalami penguncupan sehingga 30%.
“Penguncupan 17% ini disebabkan oleh sekatan awal tahun ini. Ini bermakna walaupun selepas berada pada tahap paling rendah dengan hampir semua perniagaan ditutup dan pergerakan disekat, ekonomi kita tidak seteruk berbanding yang lain,” katanya.
Hoo berkata, ini disebabkan pakej rangsangan diperkenalkan oleh kerajaan, sambil menambah yang ekonomi Malaysia akan pulih tahun depan kerana harga petrol meningkat kepada AS$42 setong dan harga minyak sawit naik 25% berbanding tahun lalu. Beliau berkata, permintaan dari India juga membantu ribuan pekebun kecil kelapa sawit untuk menjual hasil mereka ke luar negara.
“Kita juga memperoleh berbilion ringgit daripada produk sarung tangan getah,” katanya sambil memaklumkan industri elektrik dan elektronik turut bangkit semula.
Bagi sektor pertanian, Hoo berkata Malaysia mempunyai pembeli sedia ada, Singapura, yang akan memastikan petani terus berkembang.
Bagaimanapun, Hoo meminta kerajaan untuk membantu industri makanan dan minuman serta industri berkaitan pelancongan, yang mana sehingga 1 juta orang daripada industri berkenaan mungkin terjejas.
Katanya, Putrajaya perlu menyediakan latihan bagi mereka bekerja di sektor lain atau menawarkan bantuan.
Beliau menyarankan kerajaan mengurangkan beberapa projek pembangunan berskala besar buat sementara dan sebagai ganti menyalurkan wang itu kepada kelompok seperti “akan memberi kesan berlipat ganda pada 1 juta orang terhadap ekonomi dan bagi meningkatkan perbelanjaan pengguna”.
Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau berdepan pemotongan gaji, Hoo berkata kerajaan memberikan kelonggaran untuk menyusun semula pinjaman kepada bank, sambil menambahkan “ini akan memberi kelegaan kepada mereka yang tidak dapat membayar pinjaman”.
Beliau berkata, hubungan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin tertinggi dari AS, India, China dan Singapura akan menjadi faktor pelaburan mengalir ke Malaysia.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata ekonomi Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai pemulihan pada 2021, berdasarkan prestasi ekonomi baru-baru ini. Kadar pengangguran menyusut kepada 4.9% pada Jun daripada paras tertinggi 5.3% pada Mei, yang menurut beliau memberi petunjuk baik untuk ekonomi negara.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/321kfU7
via IFTTT
No comments:
Post a Comment