PETALING JAYA: Ibadah korban tidak memerlukan penggunaan lembu mahal, tetapi mencukupi dengan lembu biasa yang boleh memanfaatkan lebih ramai orang miskin, kata Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad selepas tawaran pakej korban lembu wagyu mencecah RM30,000 bagi satu bahagian sempena sambutan Aidiladha.
Katanya, korban tidak boleh dibuat sesuka hati kerana ia adalah ibadah yang terikat dengan syariat Islam.
“Kita tak boleh ikut selera keinginan sebab sembelih binatang adalah simbol untuk mematikan sifat kebinatangan yang ada dalam jiwa kita. Kalau kita dianugerahkan harta dan kekayaan harus sedar siapa yang beri kekayaan, jawapannya Allah, jadi kita perlu bersyukur.
“Bagi mereka yang diberi harta kekayaan sampai sanggup nak lakukan ibadah korban RM30,000 sebahagian, kalau bina rumah untuk orang miskin, RM30,000 ini boleh duduk satu keluarga, ini kita baru beli sebahagian daging.
“Jadi, kena faham semangat korban itu ialah kita mengorbankan nafsu kita, sifat rakus kita terhadap harta,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, sebuah syarikat tempatan dilapor menawarkan pakej korban satu bahagian lembu wagyu berharga RM29,999 sempena Aidiladha tahun ini.
Pakej yang dilancarkan akhir Jun lalu bagaimanapun dikecam ramai, walaupun selepas pengusaha syarikat terbabit mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk pakar agama.
Shukri berkata, rezeki yang diberikan Tuhan tidak boleh disalahgunakan kerana ia dianggap satu kebiadaban.
“Al-Quran menyebut Allah tidak memandang daging korban, tapi melihat ketulusan hati itu. Kalau kita beli yang mahal-mahal ini, apakah masih ada ketulusan, keikhlasan di situ atau ada unsur lain nak menunjuk, berlawan siapa boleh beli lagi mahal?”
Katanya, walaupun ibadah korban lembu mahal itu sah, tetapi semangat ibadah itu dibimbangi akan “hangus” begitu saja.
Beliau juga bimbang ibadah korban itu boleh menjurus kepada pembaziran, apabila ia dilakukan dengan lembu mahal atas niat lain.
“Tetapi, kita tidak boleh terus kata membazir kalau dia mampu. Misalnya Arab Saudi bina masjid besar, kita tidak boleh kata membazir sebab mereka mampu, malah membazir juga tidak semestinya RM30,000.
“Kalau 10 sen tidak diguna pada tempatnya, ia menjadi pembaziran. Saya nampak dalam hal ini ada kemungkinan berlaku pembaziran.”
Pada 5 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad dilaporkan berkata, tidak salah melakukan ibadah korban lembu wagyu, tetapi RM30,000 bagi satu bahagian daging itu sama nilainya dengan 6 ekor lembu biasa yang boleh diagihkan kepada lebih ramai orang ramai.
Katanya, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan, khasnya akibat krisis Covid-19 dan untuk merasai daging yang nilainya melebihi RM30 sekilogram.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3jZ9866
via IFTTT
No comments:
Post a Comment