PETALING JAYA: Jeeshen Lee dan Caren Tee masih belajar di universiti ketika mereka mengetahui rangkaian hotel Seri Malaysia dan Tabung Haji antara terbesar di negara ini.
Sepuluh tahun berkecimpung dalam dunia perisian, Seri Malaysia dan Tabung Haji antara 266 hotel di Malaysia dan Indonesia yang menggunakan perisian khas mereka untuk hartanah hospitaliti.
“Ketika itu, kami masih belajar dan mengambil upah kerja sambilan untuk membayar yuran kami. Jadi, apabila kami dapat tahu ada pertandingan perniagaan dengan hadiah wang tunai RM10,000, kami tahu kami perlu menyertainya,” kata Lee.
Pertandingan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu memerlukan peserta menghantar rangka kerja perniagaan. Selain hadiah wang tunai, terdapat juga geran lanjutan untuk dimenangi.
“Idea kami ialah mencipta sistem perisian hotel. Kami tampil dengan idea itu kerana seorang rakan kami menceritakan cabaran dihadapinya ketika mengendalikan hotelnya,” kata Lee.
Sebagai sebahagian daripada pertandingan itu, Lee berkata, mereka perlu membuat senarai pelanggan berpotensi. Mereka memasukkan Seri Malaysia dan Tabung Haji dalam senarai itu kerana ia antara hotel yang memiliki inventori bilik terbesar.
“Kami tidak menang, kami hanya dapat tempat ke-2. Namun kami tidak berputus asa dan tujuan asal hanya untuk memenangi wang tunai berubah apabila MDEC menghantar kami ke persidangan dan sesi berkongsi idea.
“Ini membantu kami menjadi usahawan, dan pada 2012, kami mengasaskan Softinn dengan modal berbayar RM5,000, kebanyakannya untuk menyewa pelayan,” katanya.
Softinn menawarkan perisian hotel untuk daftar masuk, tempahan dan operasi “front office” pada harga mampu milik untuk hotel butik dan berskala kecil.
“Hotel 5 bintang mempunyai infrastruktur, sistem teknologi maklumat yang mahal, program pemasaran digital serta kesetiaan.
“Tetapi, untuk hotel 4 bintang ke bawah, ia terlalu mahal. Di sinilah kami boleh bantu mereka,” katanya.
Pada asasnya, Softinn menyediakan infrastruktur dan platform kepada pelanggan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi sambil memberikan penjimatan besar.
Syarikat yang pada awalnya hanya terdiri daripada Lee, Tee dan 2 pekerja lain dengan kurang 30 pelanggan kini berkembang menjadi pasukan 15 kakitangan yang memberi perkhidmatan kepada 1,267 pelanggan.
“Dalam 2 tahun pertama, saya dan Tee tidak mendapat gaji,” kata Lee.
Namun, dalam tempoh 8 tahun, Softinn mengembangkan empayarnya daripada hanya seorang pelanggan, iaitu sebuah hotel rumah kedai 3 tingkat di Muar, Johor kepada lebih 1,000 hartanah, termasuk rangkaian di Malaysia dan Indonesia.
“Kami menyediakan sebuah laman web dan sistem tempahan bagi memudahkan tetamu atau pelancong menempah secara terus dengan pelanggan kami. Mereka akan mendapat tawaran lebih baik dan pelanggan kami tidak perlu membayar komisen kepada ejen pelancongan dalam talian.”
Katanya, sistem itu yang 80% lebih murah daripada sistem antarabangsa yang digunakan hotel lebih besar, membantu hotel berjimat sehingga RM1,000 sebulan untuk komisen yang dibayar kepada ejen.
Sistem itu juga membolehkan hotel memahami tingkah laku pelancong, corak dan peluang yang dapat digunakan untuk memperbaiki strategi pemasaran mereka serta mengoptimumkan jualan.
Lee berkata, perniagaan harus memanfaatkan potensi digital mereka.
“Ia bukan hanya mengenai perisian, tetapi juga data yang boleh lakukan untuk perniagaan. Ini mungkin sesuatu yang mahal bagi hotel lebih kecil pada masa lalu, tetapi kini tidak lagi.”
Mengenai Softinn, Lee berkata, mereka tidak akan melupakan jasa MDEC kepada dirinya dan isteri, malah mereka masih bekerja rapat dengan agensi itu.
“Kami berkolaborasi dengan MDEC atas geran Digitalisasi PKS untuk menawarkan 50% geran padanan buat hotel butik mendigitalkan perniagaan mereka.”
Mengulas kisah kejayaan PKS tempatan seperti Softinn, sempena pelancaran bulan #SayaDigital, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata: “Ideanya ialah untuk MDEC memperkasakan perniagaan dengan melakukan perubahan digital untuk berkembang di era Revolusi Industri ke-4, dan mencapai kemakmuran bersama bagi semua rakyat Malaysia.
“MDEC akan terus menyokong perniagaan melalui platform pemerkasaan digital seperti kejayaan Sidang Kemuncak Digital PKS yang baru berakhir. Ini adalah yang pertama dalam satu siri acara sempena bulan #SayaDigital, dengan matlamat mempercepatkan proses ke arah masyarakat digital di Malaysia.”
Kempen selama sebulan itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan penggunaan digital dalam kalangan rakyat serta perniagaan tempatan, memperkasakan mereka untuk mengharungi norma baru dengan berjaya.
Dua minggu pertama gerakan #SayaDigital akan menumpukan pemerkasaan perniagaan digital, manakala 2 minggu terakhir akan memberi peluang kepada rakyat untuk belajar dan meningkatkan kemahiran digital mereka.
Saksikan video MDEC mengenai perniagaan digital di https://www.youtube.com/c/MYMDEC/ atau layari #SayaDigital di https://mdec.my/sayadigital/ untuk kisah inspirasi.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3fPbhOE
via IFTTT
No comments:
Post a Comment