KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan penutupan sekolah di Zon Merah Covid-19 seperti Kuching, Sarawak, antara perkara bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat, yang memasuki hari ke-13 hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan yang diajukan oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai) kepada Menteri Pendidikan antara 3 soalan yang dikemukakan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Sementara itu, Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) dijadual bertanya perdana menteri mengenai cadangan memperkenal undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah secara lebih efektif.
Dalam sesi soal jawab lisan pula, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijangka mengajukan soalan kepada perdana menteri berkaitan sebab pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ditangguhkan serta sejauh mana permasalahan fiskal menjadi punca penangguhan itu.
Seterusnya, sidang Dewan Rakyat pada hari ke-2 minggu ke-4 ini akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dengan 7 kementerian dijadual menggulung perbahasan.
Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali ke-2 iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan aturan mesyuarat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/33mBYHV
via IFTTT
No comments:
Post a Comment