Breaking news

Monday, 17 August 2020

Kemarau, ‘scammer’ tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Paras air Empangan Teluk Bahang semalam berada jauh lebih rendah daripada kapasiti efektif 39.1%, pada 38.9%. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Persiapan negara menghadapi musim kemarau dan impaknya terhadap empangan di seluruh negara antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat, isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada menteri alam sekitar dan air.

Selain itu, isu mengenai kes sindiket penipuan kewangan (scammer) yang berlaku ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) juga dijangka menjadi tumpuan pada persidangan hari ini.

Soalan berkenaan diajukan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada menteri dalam negeri yang antara lain turut meminta kementerian terbabit menyatakan kaedah serta langkah berkesan bagi mengekang sindiket penipuan itu.

Soalan mengenai SOP bagi permohonan pemastautin tetap turut diajukan kepada menteri berkenaan oleh Natrah Ismail (PH-Sekijang).

Dewan Rakyat juga dijadualkan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/344UGUF
via IFTTT

No comments:

Post a Comment