Breaking news

Sunday, 16 August 2020

Israel lancar serangan udara terbaru ke Palestin selepas terima bom api

Seorang kanak-kanak Palestin melihat kerosakan rumah keluarganya susulan serangan udara Israel di tengah Gaza semalam. (Gambar AP)

BAITULMAQDIS: Tentera Israel melancarkan serangan udara terbaru ke atas Hamas di Semenanjung Gaza pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap bom api dalam belon yang dihantar ke kawasan Israel.

Tentera berkata, pertempuran berlaku di sepanjang sempadan Gaza-Israel pada waktu malam.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan mendakwa berpuluh-puluh penduduk Palestin “membakar tayar, melontar alat letupan dan bom tangan ke arah pagar keselamatan serta cuba mendekatinya”.

Sejak seminggu lalu, tentera Israel melancarkan serangan waktu malam ke atas sasaran berkaitan kumpulan Hamas yang mengawal Semenanjung Gaza.

IDF berkata, mereka bertindak balas terhadap penggunaan bom api buatan yang dipasang pada belon dan layang-layang, yang dihantar ke selatan Israel, menyebabkan ribuan kebakaran di ladang dan komuniti negara itu.

Menurut khidmat penyelamat Israel, 19 serangan Palestin sedemikian berlaku pada Sabtu saja.

IDF berkata, jet pejuangnya menyerang sejumlah sasaran tentera Hamas di Semenanjung Gaza, termasuk sebuah kawasan tentera dan kemudahan bawah tanah milik Hamas.

Israel turut menutup laluan kargo Kerem Shalom dengan Semenanjung Gaza dan mengurangkan zon perikanan pantai Mediterranean yang dibenarkan, sebagai tindak balas terhadap serangan belon itu.

Di sebalik perjanjian damai yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Mesir dan Qatar tahun lalu, pertempuran kedua-dua pihak itu masih berlaku sekali-sekala membabitkan roket, tembakan mortar dan belon pembakar.

Menurut Bank Dunia, Semenanjung Gaza mempunyai 2 juta penduduk, dengan lebih separuh hidup dalam kemiskinan.

IDF berkata, Hamas “bertanggungjawab atas semua kejadian di Semenanjung Gaza dan yang berpunca daripadanya, serta akan menanggung akibat daripada aktiviti keganasan terhadap rakyat Israel”.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3arHJ8J
via IFTTT

No comments:

Post a Comment