Breaking news

Wednesday, 5 August 2020

Islam dan Sosialisme, selepas 40 tahun, masih perlu untuk waktu kini

Nadanya cergas, kritikannya tajam. Itu corak dan pendekatan karya Syed Hussein Alatas, Islam dan Sosialisme. Tulisannya mengisi pandangan yang mendalam dan menanggapi persoalan yang sering diabaikan dan tidak diendah terutamanya golongan pemimpin politik, agama ataupun pemerintahan di Malaysia, dan diselimuti daripada masyarakatnya.

Islam dan Sosialisme karangan Syed Hussein Alatas menjanjikan pembacaan dan renungan yang merangsangkan dalam membawa kita membicarakan antaranya persoalan kemunduran dan kemiskinan masyarakat, pengabaian ilmu pengetahuan dan pemikiran kritikal oleh pemimpin komuniti dan agama, dan alahan sesetengah watak terhadap tradisi intelektual dan budaya masyarakat lain yang dipandang berbeza daripada kita. Semuanya dalam konteks pemahaman kita berkait pengertian Islam dan sosialisme, serta hubungan dan kesannya terhadap orang Muslim dan masyarakat amnya.

Daripada segi korpus Alatas, Islam dan Sosialisme yang diterbitkan pertama kalinya pada 1976, sesuai dibaca bersama karya Intellectuals in Developing Societies (1977) dan Kita dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah (1979). Korpus Alatas bermuat leitmotif dan nilai yang konsisten mengiringi dan saling bertindih dalam semua karyanya.

Masih pun begitu, yang menjadikan Islam dan Sosialisme istimewa adalah upayanya untuk mengunjungi permasalahan dan usul yang mendesak sekitar pengagihan sumber dan hasil ekonomi, pandangan dunia Islam, medan politik dan ruang antara politik dan agama seiring dengan perkembangan tahun-tahun 1970an dan 80an.

Perbahasan utama Alatas dalam Islam dan Sosialisme meliputi penjelasan keserasian agama Islam dan pemikiran sosialisme, dan menjawab hujah mereka yang menentang nilai serta perubahan yang disarankan dan didorong suatu naratif sosialisme Islam terhadap masyarakat, khususnya di Malaysia.

Proses menghuraikan perlenturan dan sintesis Islam bersama sosialisme melihat Alatas membincangkan karya dan idea HOS Tjokroaminoto, Husayn Kidwai, Mohammad Natsir, Sjafruddin Prawiranegara, antaranya, selain merujuk Al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad untuk menerangkan bahawa interaksi dan saling melengkapi Islam sebagai iman dan keyakinan dan sosialisme sebagai falsafah dan sistem sosial memiliki tradisi yang panjang dalam masyarakat Nusantara dan masyarakat Islam.

Selain itu, Alatas mengkritik wacana Islam yang diajukan Abul Maududi, Muhammad Asad, Muhammad Qutb, dan Muhammad Iqbal kerana ketidaktahuan dan ceteknya kesedaran mereka terhadap pemikiran sosialisme, dan idea dan budaya masyarakat-masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat.

Seperti semua tulisannya yang lain, Islam dan Sosialisme didasari dan menegaskan keutamaan 2 perkara, yakni pertama kepentingan ilmu pengetahuan dan keduanya teras etika-moral. Keprihatinan terhadap perlunya untuk meluaskan ilmu pengetahuan menjadi sebab kerana Alatas memberi reaksi terhadap Maududi, Asad, dan Iqbal.

Sentimen dan ideologi anti “Barat” mereka menyebabkan bantutnya pemikiran dan kesarjanaan orang dan masyarakat Islam. Kerana itu, arus dan idea sosialisme ditentang dan dianggap sebagai anti Tuhan walaupun wacana sosialisme mempunyai nilai baiknya dan terdiri daripada pelbagai tradisi, termasuk yang mempercayai Tuhan dan menerima agama.

Islam tidak memadai sekiranya menjadi ritual dan kepercayaan sahaja, tanpa teori dan pendekatan sosial yang lebih luas sepertimana yang dapat didokong dan disumbangkan oleh gagasan sosialisme. Persoalan dan pembentukan dasar dan sistem sebagai contohnya dapat dibangunkan melalui saling hubung Islam bersama sosialisme. Antara ciri induk sosialisme adalah tumpuan terhadap punca kemiskinan dan kekayaan dalam masyarakat, dan perspektif bahawa persekitaran sosial menentukan tindakan dan kehidupan individu dan masyarakat dan kerana itu perlu pembinaan jaringan dan tatanan sosial yang sejahtera.

Pembentukan sistem dan institusi sosial dan ekonomi yang kukuh sangat perlu untuk menangani jurang pendapatan, dan mengangkat kebajikan dan taraf kehidupan semua dalam masyarakat. Justeru, kesedaran ini sumbangan bermakna naratif sosialisme kepada pembangunan perspektif sosialisme Islam.

Pada masa sama, bicara pembinaan ilmu pengetahuan juga tidak terpisah daripada pentingnya nilai-nilai etika-moral. Aliran sosialisme tidak sahaja membangunkan dasar dan institusi untuk memajukan masyarakat, tetapi juga menganjurkan prinsip-prinsip seperti keadilan sosial, demokrasi, kedaulatan hukum, dan kebebasan.

Wacana sosialisme yang selari dengan Islam, sepertinya juga menekankan pembelaan golongan termiskin dan terbanyak, perlindungan daripada penyalahgunaan kuasa dan penindasan terutamanya golongan yang mempunyai kuasa politik dan ekonomi termasuk kepentingan ekonomi-politik, dan penentangan eksploitasi kelas dan ekonomi. Maka, perkongsian nilai moral ini yang mendokong sosialisme Islam dan juga memperteguhkan kepentingan perspektif gabungan ini.

Oleh demikian, karya Alatas ini langsung penting dan relevan kerana di satu sisi membicarakan keselarasan 2 wacana, Islam serta sosialisme, berlawanan dengan mereka yang menyuarakan konfliknya 2 pemikiran ini, dan di satu sisi lagi mengutara dan menekankan pentingnya ilmu pengetahuan dan pendirian etika-moral.

Keyakinan dan komitmen kepada pemikiran kritikal dan keterbukaan intelektual ini yang membolehkan Alatas membincangkan tokoh seperti Ibn Khaldun, Imam Ghazali, Jamaluddin Asadabadi, Muhammad Abduh, dan Alexander Herzen. Serentaknya, kepekaan Alatas terhadap hati nurani insaniah memandu rujukannya terhadap Saidina Ali, Leo Tolstoy, Abu Dhar al-Ghiffari, dan Tjokroaminoto antaranya.

Dua sisi berkenaan yang menjadikan buku ini, walaupun diterbitkan pada 1976, masih bertepatan dan sangat perlu untuk waktu kini. Berhadapan dengan pemikiran dan retorik perkauman dan agama sempit yang didorong oleh kumpulan dan pemimpin tertentu dalam masyarakat Malaysia sekarang, upaya pemikiran yang kritikal serta analisa dan kritik sosial, dan kesedaran moral dan ruhani, menjadi satu tuntutan.

Asas kepada permasalahan periode ini tidak berbeza dengan waktu di mana Alatas mengkritik pemimpin PAS dan Umno kerana daya fikiran mereka yang kurang, tidak mengerti sifat sosial isu masyarakat, memberi maklumat dan gambaran idea terutamanya sosialisme yang terpesong dan tidak benar, dan kegagalan dalam menangani permasalahan dan pembangunan nilai, institusi dan tatakelola ekonomi dan politik negara.

Termuat juga dalam Islam dan Sosialisme, kritikan Alatas terhadap Dr Mahathir Mohamad yang menyekat kebebasan untuk berfikir dan mengkritik pemerintahan dan parti juga pemimpinnya, termasuk Mahathir. Ia bertambah runcing, Alatas menghujahkan kerana Umno dan Mahathir sendiri menganjurkan pandangan yang memberi analisa yang tempang terhadap permasalahan orang Melayu khususnya, dan masyarakat Malaysia, seperti yang dikandung dalam Revolusi Mental susunan Senu Abdul Rahman, dan The Malay Dilemma karangan Mahathir.

Lebih daripada itu, Mahathir tidak menangani masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta pengekangan wacana tanding dan kritik yang perihalkan kelemahan dan kesalahan pemerintahan. Sebaliknya, dan lanjutan daripada itu, sosialisme digambarkan sebagai sama dengan komunisme dan Karl Marx meskipun aliran sosialisme adalah pelbagai, seperti yang dihujahkan Alatas, dan naratif sosialisme Islam diwacanakan sebagai bertentangan dengan budaya dan nilai komuniti Melayu dan tidak dapat menyelesaikan isu-isu sosial masyarakat Malaysia.

Bertitik tolak daripada kerangka dan perbincangan ini, maka cetak semula Islam dan Sosialisme begitu manfaat kepada mereka yang kini berusaha untuk melawan naratif politik ras dan keagamaan yang tertutup, sepele, dan dangkal anjuran parti politik perkauman dan agama, korupsi kuasa dan wang oleh golongan elit politik dan ekonomi, dan pemecahan budaya dan identiti nasional.

Ditambah beserta kata pengantar baru oleh Syed Farid Alatas yang membincangkan dengan padat dan mudah dimengerti idea-idea utama Karl Marx dan kepentingan konsep-konsep dan wacananya untuk kita maju ke hadapan, Islam dan Sosialisme bacaan yang sangat bernilai kepada mereka yang ingin membina Malaysia dan dunia yang lebih baik, adil dan insani.

 

Teo Lee Ken adalah penulis dalam lapangan politik dan sosiologi, sebelum ini menjadi felo penyelidik di Universiti Alzahra, Tehran dan memperolehi ijazah kedoktorannya daripada Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/30sUEnv
via IFTTT

No comments:

Post a Comment