TANJUNG MALIM: Calon Barisan Nasional dan calon bebas mewakili kumpulan Dr Mahathir Mohamad tiba di pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dikawal ketat polis pagi ini.
Mohd Zaidi Aziz yang juga pemangku ketua Umno Bahagian Tanjung Malim tiba pada 8.57 pagi, disusuli Amir Khusyairi Mohamad Tanusi 2 minit kemudian.
Proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim bermula 9 pagi ini dengan bakal calon diberikan sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.
Tinjauan pemberita mendapati polis akan memeriksa individu yang hendak memasuki Majlis Daerah Tanjong Malim dari jalan utama.
Polis turut menutup laluan ke Majlis Daerah Tanjung Malim dari jalan utama berhadapan Petronas Behrang 2020 dan Jalan Wawasan Mesra Perdana.
Hanya pemandu kenderaan yang mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenarkan melalui jalan utama ke pusat penamaan calon.
Disebabkan penularan Covid-19, tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan hanya calon, pencadang serta penyokong calon dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.
Pegawai Pengurus PRK Slim, Shamsul Ridzuan Idris dijangka mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi nanti.
PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Khusairi mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 selepas mengalahkan calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.
SPR menetapkan 29 Ogos sebagai hari mengundi.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/31WrtJ1
via IFTTT
No comments:
Post a Comment