Breaking news

Thursday 13 August 2020

Aku, Iranun Kota Belud

Aku dilahirkan di Mindanao, pulau indah. Ya, sekurang-kurangnya aku merasakan ia indah. Cukup indah untuk diriku, dan bangsaku.

Semangat “pelaug-laug” dan “pelayag-layag” membawa keluar dari pulau hidupku untuk belayar kembara ke pelabuhan lain di kota yang jauh. Tersangat jauh.

Memakan minggu dan bulan dilanda badai tanpa destinasi, samudera yang penuh pertanyaan.

Kadang aku bergiat niaga di Melaka, membawa aku jauh ke Pulau Pinang, dan juga Singapura tentunya.

Akan tetapi di negeri-negeri Selat itu, British memandang kami dengan penuh curiga. Amat prasangka.

Pada tahun 1819, aku dianggap lanun laut bersama-sama kaum Balangingi. Sebagai lanun, bangsa kami dibenci, atau dijauhi. Orang Inggeris memandang kami sebagai pedagang hamba. Mungkin kata lanun itu sendiri daripada diriku, daripada sosok tubuhku.

Lanun? Sebetulnya kami menentang kuasa-kuasa Barat. Di Filipina, kami menentang orang Sepanyol bersama-sama suku kaum Maranao, Maguindanao, Tausog dan Suluk. Penentangan kami berakhir cemas. Di darat, dan di laut. Kami lebih menyukai pertempuran di laut.

Seperti mana Inggeris melekatkan kenyataan malas kepada Melayu. Mereka – penjajah – juga melekatkan kata ganas kepada kami Iranun. Kami dipanggil lanun.

Maka menggunakan ketakutan itu – lanun – kami menggasak Inggeris yang menjarah harta bangsa, kekayaan nusa, dan membikin mereka Inggeris, Sepanyol dan nanti Amerika tersangat rimas.

Kebetulan sekali aku, dan seluruh bangsaku beragama Islam sejak 1457. Ada yang mengatakan kami memeluk agama Islam sekitar tahun 1515. Pedulikanlah tarikh-tarikh itu. Ia tidak penting jika kita tidak mengerti muatan dan kandungannya.

Moyangku pernah mengatakan bangsaku kami ini datang dari Sabah – tetapi berhijrah ke Mindanao – jadi asal kami adalah Borneo.

Pada abad ke-13, sepuluh orang bangsawan Iranun yang menolak untuk bersekongkol dengan pemerintahan zalim Kesultanan Makatunaw memilih untuk belayar ke utara, menduduki Pulau Panay dan membelinya daripada Raja Marikudu. Setelah itu, sepuluh orang bangsawan ini mempengaruhi kebudayaan masyarakat setempat dan merebak ke Mindanao.

Kata moyangku mereka adalah Datu Puti, Datu Bangkaya, Datu Dumangsul, Datu Paiburong, Datu Sumakwel, Datu Padulinog, Datu Lubai, Datu Dumansil, Datu Dumalodog, dan Datu Balkasusa.

Sepuluh datu ini tersebar ke kepulauan dan daerah lantas membentuk kesultanan masing-masing. Sultan dalam hal ini adalah ketua. Ia adalah tradisi “pat a” – “pangampongan”.

Di Mindanao, kami bergabung dengan bangsa Moro melawan Sepanyol. Oleh sebab sama-sama Islam, kami dianggap bahagian daripada Moro, dan Moro juga menganggap kami bahagian daripada mereka.

Iranun bukan bermakna lanun. Ranao atau ranun itu ertinya tasik. Kami adalah orang-orang yang menetap di sekitar danau. Kerana dialek, kata ranao itu disebut dan dieja lanao.

Jiwa pelayar membawa kami keluar kembali dari Mindanao lantas tersebar ke seluruh kepulauan Melayu. Tambah-tambah kehadiran Sepanyol amat mendera kami. Setelah memeluk Islam mazhab Jafari di tangan Syarif Kabungsuwan dan Syarif Awliya, sesetengah kami membuat keputusan untuk berhijrah kembali ke Borneo. Maka aku yang masih kecil dibawa keluarga belayar sampai ke Tawi-Tawi.

Dalam pelayaran kami itu, sering kami berdepan dengan penjajah Inggeris – juga kami lawan – sehingga kami diberi jolokan “the Iranun, lord of the eastern seas”.

Moyangku mengahwini orang Rungus di Kudat. Merantau pula ke Tempasuk untuk mencari harta.

Ada cerita lucu mengenai Iranun yang tiba di Tempasuk kemudian tidak pulang ke Mindanao. Milus Alu dalam “Masyarakat Iranun: Satu Penelitian Sejarah”menceritakan perihal kelucuan ini.

“..orang Iranun datang ke Tempasuk (Kota Belud) kerana mereka mendapat berita bahawa di Tempasuk terdapat sejenis peralatan muzik yang mahal harganya, iaitu langguai dan patola.

“Bagi masyarakat Iranun, langguai adalah sejenis peralatan muzik yang dikenali sebagai gong dan patola dikenali sebagai canang.

“Namun pabila mereka sampai ke Tempasuk, langguai yang disangka barang yang berharga rupanya adalah sejenis siput seperti siput gondang emas dan patola adalah sejenis sayur, iaitu petola.

“Peristiwa tersebut menimbulkan rasa malu terhadap orang Iranun yang datang ke Tempasuk. Sejak itu, mereka tidak lagi kembali ke Mindanao, sebaliknya mendirikan petempatan di beberapa kawasan, termasuk Tempasuk dan Kudat”.

Orang Iranun sudah berada di Borneo sekitar tahun 1730. Seratus tahun kemudian, dalam tahun 1830 orang Iranun yang berketuakan Raja Laut pada tahun 1830 menyusuri Sungai Tungku, dan sering berulang-alik ke Mindanao menyerang pedagang Sepanyol .

Pada tahun 1845, aku Iranun membantu Syarif Uthman mempertahankan Kota Marudu dan menentang Syarikat Hindia Timur. Jadinya orang Iranun sentiasa diburu.

Juga orang Iranun itu sering diundang Raja-raja Melayu untuk menjadi askar upahan mereka di laut. Makanya kalian akan menemui nama kami – Iranun – di Riau melawan Belanda, dan di Siak sebagai upahan Syed Ali untuk memerangi Siam.

James Warren dalam “The Sulu Zone”(1981) memperihalkan bagaimana kami Iranun diperalat oleh Raja-raja Melayu untuk menjadi barisan hadapan, khusus di laut:

“The Thufat al-Nafis, the Malay language history of Riau, chronicles the coming of Iranun to the Malacca straits, telling of Dutch efforts to wrest control of valuable in trade from the Buginese and the Malay Sultan Mahmud’s decision to summon the Iranun of Tempasuk on west Borneo to assist him in expelling the Dutch from Riau.

“Lead by Raja Ismail these raiders crossed the South China Sea in big prahus, eighty to ninety feet long between stem and stern, which native and European observers henceforth called lanongs, and successfully assaulted the Dutch garrison in May 1787. Fear of Dutch reprisal led Mahmud to abandon Riau as his residence”.

Jadi, kami Iranun berani. Mereka yang Melayu belum tentu berani seperti kami. Hal itu dibuktikan lagi oleh kami di Siak:

“…Syed Ali a noble of Siak, with the aid of an Iranun party attacked Songkhla on the south east coast of Siam in 1789 and severed overland communication between the Malacca Straits and the South China Sea; they burnt the town, seized two Chinese junks, and carried of a large number of people”.

Bertahun-tahun tidak ke laut, aku dan keluarga berhijrah ke Kampung Merabau dan menternak haiwan kecil-kecilan. Kuda, kerbau dan lembu sehingga akhirnya membiak beratus ekor.

Pada Februari 1988, kerajaan Sabah menggantikan istilah Illanun kepada Iranun dan menyerapkan bangsa kami sebagai warga Bumiputera.

Serta-merta, kerana kami berbudaya Melayu, dan juga fasih berbahasa Melayu yakni bahasa kedua kami, maka kami pun dianggap bahagian daripada Melayu. Memang kami rumpun Melayu, tetapi kami bukan betul Melayu.

Susah sekali menjelaskan. Lama kelamaan kami semua digelar Melayu begitu saja. Kerana dipanggil, kami pun menyahut.

Dalam tahun 1990an ada keluargaku dari Mindanao datang belayar ke Sabah, mencari kami.

Dalam sejarah, dalam benak kami, dalam fikiran kami, dalam cara pandang kami, dalam dunia kami, dalam serba-serbi kami – Sabah – adalah tempat asal kami, sebelum kami berhijrah ke Mindanao. Tentu, kami ingin pulang ke kampung halaman.

Akan tetapi itu tiba-tiba mustahil. Kami diasak dengan kata pasport. Kami digunjing sebagai bukan warganegara. Kami dihina sebagai orang asing. Kami dikatakan ulat. Kami dinamai lipas. Kami dilihat seperti pinoy. Kami diusir. Kami dicurigai.

Aku simpati dengan kami. Aku amat bernasib baik daripada kami kerana aku tiba di Sabah lebih awal, diserap menjadi rakyat Malaysia, dihadiahkan status Bumiputera dan tuptup menjadi Melayu.

Cucuku menyertai politik kemudiannya dan menjadi sebahagian daripada mereka yang mempertengkarkan siapa orang luar dan siapa orang asal di Sabah.

Cucuku, menjadi bahagian daripada politik yang menggila.

Sebelum aku meninggal dunia dan beralih ke alam lain, aku hanya sempat menegurnya.

Aku memberitahukan, “Aman, jangan kamu kacau. Aku, dan kamu Aman adalah bahagian daripada bumi ini. Sesungguhnya bumi ini telah menerima kita dan hanya takdir kebetulan kita menjadi bahagian daripada peribumi di sini. Di sisi aku, bumi ini adalah milik kita semua. Kita anak semua bangsa”.

Setelah aku melelapkan mata, aku kecewa melihat Aman dari seberang sini. Aku melihat kami dimusuhi, menjadi bahan sengketa dan tengkar politik.

Aku ingin melaung dari kejauhan: “Kita, Iranun Kota Belud. Kau, Iranun Kota Belud; Aku, Iranun Kota Belud.’

Tetapi suara serakku cuma berlegar sekitar roh yang melayang-layang di angkasa menuju ke dunia lain. Anak cucuku tidak lagi mendengar.

Mereka semua sudah terpedaya dengan gelar dan penamaan yang diberi musuh, iaitu Inggeris. Bahawa identiti bangsa lebih besar daripada manusia dan kemanusiaan. Bahawa hidup mengacau dan mengkhianat lebih utama daripada hidup aman, atau keamanan sebagai insan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2XWCOrh
via IFTTT

No comments:

Post a Comment