NEW YORK: Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyebabkan penutupan sekolah secara meluas, sekurang-kurangnya 1/3 pelajar yang terjejas di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada pendidikan maya, menurut satu kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Secara keseluruhan, kira-kira 463 juta kanak-kanak kekurangan peralatan atau akses elektronik untuk menjalani sesi pembelajaran melalui jarak jauh, kata laporan dari Unicef.
“Jumlah kanak-kanak yang pendidikannya terganggu sepenuhnya selama berbulan-bulan adalah suatu darurat pendidikan global,” kata Henrietta Fore, pengarah eksekutif Tabung Kanak-kanak PBB, dalam satu kenyataan.
“Kesannya dapat dirasakan dalam ekonomi dan masyarakat selama beberapa dekad yang akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, PBB menganggarkan 1.5 bilion kanak-kanak di seluruh dunia terjejas dengan perintah berkurung atau penutupan sekolah berikutan pandemik itu.
Laporan itu menggariskan jurang perbezaan geografi dalam akses kanak-kanak kepada pendidikan jarak jauh, dengan Eropah lebih sedikit terjejas, misalnya, berbanding di Afrika atau sebahagian di Asia.
Laporan PBB adalah berdasarkan data yang dikumpul dari kira-kira 100 buah negara, yang mengukur akses orang ramai kepada internet, televisyen dan radio.
Laporan Unicef turut menyebut kanak-kanak dengan akses yang mencukupi juga mungkin berdepan halangan lain untuk pendidikan jarak jauh, sama ada kekurangan ruang kerja yang baik di rumah, tekanan untuk membuat kerja lain untuk keluarga atau kurangnya sokongan teknikal apabila terdapat masalah komputer.
Antara pelajar di seluruh dunia yang tidak dapat mengakses pendidikan maya, 67 juta berada di Afrika timur dan selatan, 54 juta di Afrika barat dan tengah, 80 juta di Pasifik dan Asia Timur, 37 juta di Timur Tengah dan Afrika Utara, 147 juta di Asia Selatan, dan 13 juta di Amerika Latin dan Caribbean.
Angka bagi Amerika Syarikat atau Kanada tidak diberikan.
Dengan tahun persekolahan baru yang tidak lama lagi bakal bermula di kebanyakan negara, termasuk kelas peribadi di kebanyakan tempat, Unicef mendesak kerajaan supaya “mengutamakan pembukaan semula sekolah yang selamat apabila mereka melonggarkan sekatan perintah berkurung.”
Bagi pembukaan semula yang dilihat mustahil untuk dilaksanakan, kerajaan perlu mengatur “pembelajaran gantian untuk waktu pengajaran yang ketinggalan,” kata laporan itu.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2EDt7HB
via IFTTT
No comments:
Post a Comment