PETALING JAYA: Bekas menteri, Rafidah Aziz menggesa kerajaan menjelaskan kepada rakyat erti “norma baru”, istilah yang sering digunakan Putrajaya dalam usaha membanteras pandemik Covid-19.
Katanya, apabila melibatkan isu pentadbiran dalam kerajaan, tugas seorang menteri bukan sekadar mengeluarkan kenyataan semata-mata, sebaliknya perlu melihat isu ini dengan lebih mendalam.
“Semua bercakap mengenai norma baru, tetapi tidak beritahu rakyat dan untuk kerajaan sendiri perlu juga ada norma baru, bukan saja mengeluarkan kenyataan, tetapi duduk sekali dalam sektor swasta, pemegang taruh.
“Kita masih tidak melihat sebarang perancangan, mereka masih berebut untuk mendapatkan kerusi dan semuanya berebut mahu menjadi pemimpin, tetapi tidak ada sesiapa yang mahu menunjukkan kepimpinan,” katanya dalam siaran langsung Facebook dengan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh malam tadi.
Katanya, beliau sendiri meragui apakah Putrajaya sudah memberi penjelasan kepada rakyat kerana pelbagai kumpulan masyarakat terjejas dan menerima impak daripada pasca Covid-19.
“Dalam erti kata lain, erti norma baru perlu diperjelaskan. Apakah norma baru buat pentadbiran kerajaan, apakah norma baru dalam kehidupan masyarakat, apakah juga norma baru dalam sektor swasta?
“Contohnya di sekolah, sepatutnya sudah lakukan rancangan, sesi persekolahan tidak boleh lagi terlalu sesak seperti dahulu, saya bercakap mengenai ruang fizikal di dalam kelas. Covid-19 masih belum ada lagi penawarnya.
“Jika sesetengah subjek boleh diajar secara atas talian, mungkin sesi persekolahan juga boleh disingkatkan.”
Katanya, sistem pendidikan perlu dirombak, termasuk komponennya atau risiko kembali kepada norma lama.
Ditanya Yeoh apakah peranan yang dimainkan menteri pendidikan dalam isu ini, Rafidah berkata: “Langsung tidak mendengar sebarang pengumuman, bahkan tidak mengenali siapakah individu yang menjawat tugas berkenaan”.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/327A2Cy
via IFTTT
No comments:
Post a Comment