Pada Jumaat lalu Singapura melaksanakan pilihan raya umumnya yang menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kembali berkuasa dengan majoriti jelas, malah ada yang menyebutnya sebagai “supermajority”.
Kemenangan PAP adalah sesuatu yang dijangka dengan parti itu sentiasa memenangi pilihan raya sejak tahun 1959 lagi, iaitu sebelum Singapura mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Tetapi apa yang menjadi tumpuan ialah penurunan undi yang diperoleh PAP dan penambahan kerusi bagi pihak pembangkang melalui Parti Pekerja.
Begitulah dalam sebuah demokrasi, apabila parti pemerintah kuat, kemenangannya tidak menarik perhatian. Maka apa yang diberi tumpuan adalah penambahan pengaruh pihak pembangkang.
Parti Pekerja yang memperoleh 10 kerusi adalah parti lama dan ditubuhkan pada tahun 1957 oleh ketua menteri Singapura ketika itu, David Marshall. Beliau memenangi pilihan raya tahun 1955 melalui Barisan Buruh.
Banyak parti di dunia tentu ingin menjadi seperti PAP yang berpenggal-penggal dapat memerintah dengan “supermajority”. Bukan itu sahaja, kerajaan PAP berjaya menjadikan Singapura begitu stabil, maju dan makmur dan sentiasa memperoleh pujian.
Walaupun kedudukan Singapura yang strategik dan kekecilannya dijadikan penyebab terhadap kejayaannya, tetapi peranan pengasas republik itu, Lee Kuan Yew dan PAP diakui di seluruh dunia.
Beliau menggabungkan polisi-polisi demokrasi sosial dengan kapitalisme untuk menjadikan Singapura berjaya.
Bagaimanapun, ketulenan demokrasi di pulau itu pernah dipersoalkan hingga membawa kepada penyingkiran PAP daripada International Sosialis, badan dunia yang menggabungkan parti-parti demokrasi sosial dan sosialisme demokratik.
Ini kerana Singapura tidak mengamalkan demokrasi liberal seperti yang ada di Barat. Di republik itu terdapat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kawalan terhadap kebebasan akhbar.
Apa yang berlaku di Singapura, khususnya mengenai kejayaannya sentiasa menjadi rujukan dan perbandingan oleh 2 pihak. Pertama, kalangan rakyat Malaysia. Kedua, kalangan rakyat Taiwan dan Hong Kong.
Walaupun Singapura adalah sebuah negara berdaulat, tetapi hubungannya dengan Malaysia mempunyai keistimewaan. Bukan saja republik itu pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia, tetapi ia saling menjadi rujukan dan perbandingan di antara satu sama lain, daripada soal makanan hinggalah kepada politik dan amalan demokrasi.
Perkara ini tidak menghairankan. Singapura dan juga Brunei pernah suatu masa adalah sebahagian daripada wilayah-wilayah yang pada mulanya dicadangkan supaya disekutukan dengan Malaya, Sarawak dan Sabah untuk menjadi Malaysia.
Walaupun perjalanan sejarah telah memisahkan Malaysia dengan Singapura dan Brunei, tetapi ketiga-tiga negara sentiasa berkait lebih dekat berbanding dengan yang lain.
Sebagai contoh, apabila peminat tradisi Kesultanan Melayu di Malaysia menyebut tentang sistem beraja, maka mereka pasti turut mengambil Brunei sebagai contoh.
Sementara bagi mereka yang meminati fahaman pembangunan moden di Malaysia, mereka pula menyebut Singapura.
Ketiga-tiga Malaysia, Singapura dan Brunei adalah makmur. Dianggap paling makmur di Asia Tenggara walaupun ketiga-tiga mengamalkan sistem pemerintahan berbeza, iaitu raja berperlembagaan di Malaysia, republik di Singapura dan kesultanan mutlak di Brunei.
Sama ada demokrasi diamalkan secara tulen atau hanya sebahagian, akhirnya apa yang menjadi perhatian oleh rakyat secara umum adalah hasilnya dari segi memberi kemakmuran. Itulah apa yang berlaku di Malaysia.
Malaysia seperti juga Singapura diperintah lama oleh 1 parti utama iaitu Umno sejak kemerdekaan.
Walaupun pilihan raya umum 2018 menyaksikan kemenangan gabungan baru, iaitu Pakatan Harapan, tetapi parti peneraju iaitu PPBM adalah daripada kalangan bekas Umno.
Walaupun dengan perubahan kerajaan baru-baru ini, gabungan baru Perikatan Nasional tetap dipimpin oleh bekas Umno. Malah Umno sendiri kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Walaupun demokrasi di Malaysia lebih meriah daripada Singapura dan Brunei, tetapi soal mandat rakyat tidak dihormati oleh sebahagian ahli politik di negara ini.
Bagi mereka, para pengundi bukan memilih parti, tetapi memberi mandat kepada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.
Ada suatu masa pada tahun 1980-an, ketika Dr Mahathir Mohamad masih memimpin Malaysia dan Lee Kuan Yew berperanan di Singapura, banyak kalangan Barat melihat demokrasi dipimpin secara autoritarian lebih berkesan mendatangkan kestabilan dan kemakmuran.
Maknanya demokrasi Asia memerlukan ciri-ciri tersendiri berbanding di Barat.
Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan apa yang berlaku di Korea Selatan dan Taiwan. Negara-negara itu maju dengan demokrasi autoritarian sebelum ia dibuka untuk mengamalkan sistem bergantian parti yang memerintah.
Dalam keadaan ini pula, China di bawah Deng Xiaoping membuka ekonominya walaupun kuasa politik tetap kukuh berada dalam tangan Parti Komunis China.
Tanpa demokrasi politik pun, China dapat maju dan makmur melalui kepimpinan yang betul. Maknanya apa yang penting adalah kepimpinan yang betul dan bukannya demokrasi.
Deng mengagumi Singapura dan peranan Lee Kuan Yew dalam memberi nasihat dan sokongan terhadap China baru juga adalah jelas.
Dengan kejayaan ini, China mengutarakan gagasan Satu Negara, Dua Sistem untuk Hong Kong dan Taiwan. Maknanya kedua-dua wilayah boleh meneruskan sistem politik dan ekonomi, tetapi menerima kedaulatan Beijing ke atasnya.
Hong Kong seperti Macau kembali pada kedaulatan Beijing. Sementara Taiwan tetap berada di luar Republik Rakyat China. Malah sistem demokrasinya berkembang hingga boleh melalui proses pemerintahan pelbagai parti.
Ketika Beijing mahukan Taiwan menjadi sebahagian daripada Republik Rakyat China melalui gagasan Satu Negara, Dua Sistem, ada pula kalangan yang mengharapkan bahawa pada suatu hari nanti Hong Kong dan Taiwan yang mempengaruhi China untuk menjadi demokratik.
Kini ada sebahagian besar penduduk Taiwan, khususnya penyokong Parti Demokratik Progresif (PDP) bukan saja menolak Satu Negara, Dua Sistem, malah mahu merdeka dari China.
Bagi Hong Kong pula sejak tahun lalu terdapat gerakan bukan sahaja untuk mempertahankan kebebasan yang dijanjikan oleh Beijing melalui gagasan Satu Negara, Dua Sistem, tetapi ada sebahagiannya menginginkan pemisahan.
Mungkin ada dalam kalangan aktivis Hong Kong mengimpikan pulau mereka menjadi Singapura, merdeka dan berdaulat. Mereka kedua-duanya adalah bekas tanah jajahan British. Cumanya Hong Kong adalah wilayah pajak daripada Beijing. Sementara Singapura sudah diserahkan terus kepada Britain.
Itupun pada awalnya, ahli politik Singapura mahukan gabungan dengan Malaya, sementara Kuala Lumpur keberatan. Tetapi Malaya dan Singapura berada dalam sistem politik dan ekonomi serupa dalam Komanwel British.
Maka apa yang berlaku pada Singapura ialah Dua Negara, Satu Sistem. Negara Malaysia dan Singapura, juga Brunei berada dalam 1 sistem warisan British. Ia juga merupakan suatu keinginan bagi sebahagian penduduk Hong Kong.
Walaupun sistem demokrasi Malaysia dan Singapura tidaklah sehebat seperti apa yang diamalkan oleh Britain, Australia, Kanada dan New Zealand, tetapi kemakmuran dan kemajuan kedua-dua negara itu adalah disumbangkan oleh struktur sistem British.
Demokrasi tidak menjamin kemajuan dan kemakmuran negara. Tetapi bersama faktor-faktor lain, demokrasi boleh menjadi penyumbang penting untuknya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3j1ygJa
via IFTTT
No comments:
Post a Comment