SINGAPURA: Parti yang lama memerintah Singapura berjaya mengekalkan kuasa pada Sabtu, tetapi sokongan diraihnya berkurangan dalam pilihan raya umum yang diadakan ketika penularan pandemik Covid-19.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura selama 6 dekad, memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Tetapi, undi popularnya merosot daripada hampir 70% yang diraih pada PRU 2015 kepada 61.2%, manakala parti pembangkang, Parti Pekerja memenangi 10 kerusi, pencapaian terbaik dalam PRU.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong ternyata kecewa dan mengakui peratusan undi popular tidak setinggi yang diharapkannya.
“Keputusannya mencerminkan keperitan dan ketidaktentuan yang rakyat Singapura rasai dalam krisis ini – hilang punca pendapatan, bimbang mengenai pekerjaan,” katanya dalam sidang media.
“Ini bukan pilihan raya ‘feel-good’.”
Undi popular PAP menghampiri tahap terendah yang pernah dicapainya, iaitu 60.1% pada PRU 2011.
Tetapi, keadaan sebaliknya bagi Parti Pekerja yang hanya memenangi 6 kerusi sebelum ini, keputusan PRU kali ini dirasakan seperti satu kemenangan dengan penyokong bersorak dan mengibarkan bendera di sebuah daripada kubu kuat parti itu.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pengundi.
“Saya rasa ada banyak kerja yang perlu dilakukan,” kata pemimpin parti Pritam Singh.
Penganalisis berkata, sokongan diraih parti pemerintah berkurangan mungkin disebabkan keinginan generasi muda yang mahukan perubahan.
“Pengundi muda mahu suara mereka didengari dalam cara lebih signifikan,” kata penganalisis politik dari Universiti Pengurusan Singapura, Eugene Tan kepada CNA.
“Tadbir urus sebuah parti saja mungkin tidak diterima dengan baik oleh mereka pada masa ini.”
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZgXwTE
via IFTTT
No comments:
Post a Comment