PETALING JAYA: Beberapa pakar bimbang respon kerajaan terhadap dokumentari Al Jazeera mengenai layanan Malaysia terhadap pendatang asing tanpa dokumen semasa pandemik Covid-19 menunjukkan dasar yang lebih mengawal ke atas kebebasan bersuara.
Laporan “Locked up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan di program 101 East pada 3 Julai itu dibidas para menteri sebagai tidak tepat dan tidak adil.
Kerajaan berkata saluran berita antarabangsa itu sedang disiasat atas dakwaan hasutan, fitnah, dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, dan pasukan di sebalik laporan itu dipanggil untuk diambil keterangan.
Pakar berkata laporan 101 East berkenaan Malaysia sebelum ini tidak berdepan tahap kemarahan yang sama walaupun ia secara tidak langsung menyentuh tentang layanan terhadap pendatang asing dan dakwaan rasuah.
James Chin, pengarah di Institut Asia di Universiti Tasmania, mencadangkan tindakan keras terhadap “bad news” tidak hanya terhadap Al Jazeera.
Beliau mengambil contoh isu jata dalam hal buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia”; siasatan terhadap koresponden South China Morning Post, Tashny Sukumaran, berkenaan laporannya tentang tangkapan pendatang asing tanpa dokumen pada Mei; dan siasatan terhadap ketua editor CodeBlue, Boo Su-Lyn tentang artikel mengenai dapatan inkuiri bebas ke atas kebakaran di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru pada 2016.
Kerana cara kerajaan sekarang terbentuk, ia nampaknya kurang terbuka terhadap berita negatif yang mungkin ada kecenderungan mempersoalkan kesahan dan kecekapannya, kata Chin.
“Laporan itu menjejaskan kerana ia siaran antarabangsa dan mempersoalkan kecekapan kerajaan dari segi menahan pendatang asing dan layanan mereka,” katanya.
Beliau berkata selain kejayaan respon terhadap pandemik Covid-19, banyak laporan lain tentang kerajaan adalah negatif di peringkat antarabangsa.
“Jika anda perhatikan dari perspektif itu, sebab itu mereka sedikit bimbang, kerana laporan ini juga memberikan gambaran yang negatif mengenai pengendalian Covid-19,” katanya.
Aira Azhari, pengurus di unit demokrasi dan tadbir urus di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, berkata aktivis dan ahli politik dipanggil untuk disoal tentang catatan di media sosial, dan polis dilaporkan menghubungi peserta sebuah sesi parlimen maya.
“Trend ini mencadangkan sikap tidak bertoleranci terhadap sudut pandang yang menentang, mungkin didorong oleh keperluan untuk mematahkan pendapat yang menentang,” katanya.
Walaupun Covid-19 bukan faktor dalam laporan itu, katanya pandemik itu menonjolkan masalah layanan terhadap pendatang asing, ketirisan, dan tadbir urus yang lemah yang menyebabkan keadaan itu berlarutan, dan sentimen xenofobia yang semakin meningkat dalam bahagian tertentu dalam masyarakat.
Khoo Ying Hooi, setiausaha agung Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), beritahu FMT pendekatan yang lebih baik dalam menangani sebarang kebimbangan mengenai laporan itu adalah berdialog dengan Al Jazeera.
Sebaliknya, kata Khoo, respon kerajaan “menimbulkan rasa takut dan membahayakan kebebasan media”, pendirian yang disebut 35 NGO, termasuk Proham, dalam kenyataan bersama oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
“Pemerintah mengambil pendekatan defensif yang keterlaluan hingga menggunakan Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan terhadap wartawan Al Jazeera, dan bukannya menyangkal dokumentari itu dengan bukti dan fakta,” katanya.
“Mereka patut mematahkan dokumentari sekiranya kandungan tidak betul tetapi setakat ini, mereka tidak guna pendekatan yang membina dalam menguruskan isu ini.”
Al Jazeera mempertahankan laporannya sebagai seimbang walaupun pegawai kanan kerajaan menjauhinya dan dilarang menyertai taklimat media menteri. Ia juga mendakwa permintaan berulang untuk temu ramah tidak diterima.
101 East pernah membuat laporan lain tentang Malaysia yang menyentuh tentang pekerja tanpa dokumen, seperti “Malaysia unwanted” pada 2014 yang memaparkan imigresen menahan pendatang asing tanpa izin dan membawa mereka ke pusat tahanan.
Laporan “Malaysia’s Migrant Money Trail” pada 2017 pula mendakwa pegawai korup di kementerian membantu pendatang asing tanpa dokumen memasuki Malaysia untuk bekerja secara haram.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3ezhDRG
via IFTTT
No comments:
Post a Comment