Breaking news

Friday, 10 July 2020

Lebih ramai pesakit buah pinggang pilih dialisis peritoneal kerana Covid-19

Pandemik Covid-19 menyebabkan rawatan hemodialisis berisiko kerana menggunakan mesin yang kebiasaannya dikongsi ramai pesakit. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hospital Kuala Lumpur (HKL) mutakhir ini menyaksikan peningkatan bilangan pesakit yang memilih dialisis peritoneal (PD) untuk menangani kegagalan buah pinggang, kerana risiko pandemik Covid-19 sekiranya mereka memilih rawatan hemodialisis konvensional, yang menggunakan mesin kebiasaannya dikongsi ramai pesakit.

Covid-19 memaksa banyak prosedur pembedahan tertangguh, tetapi Dr Sunita Bavanandan, presiden Persatuan Nefrologi Malaysia, beritahu FMT hospital kerajaan masih menjalankan prosedur akses PD yang mudah dan berisiko rendah.

Beliau percaya rakyat perlu mempertimbangkan terapi itu.

PD mengeluarkan sisa badan daripada darah seseorang dengan cecair pembersih yang mengalir melalui kateter ke abdomen pesakit. Prosedur itu kebiasaannya mengambil masa 20 hingga 30 minit dan kebiasaannya dilakukan 4 kali sehari.

Ia boleh dilakukan di rumah, di tempat kerja, atau semasa dalam perjalanan, tidak memerlukan pesakit menyusun jadual untuk mengakses mesin hemodialisis di hospital.

Rawatan hemodialisis juga mengambil masa 4 jam dan perlu dilakukan 3 kali seminggu.

Sunita, yang mengetuai Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur berkata, ramai rakyat tidak sedar tentang PD walaupun ia disediakan sejak 1981.

Beliau berkata kurang daripada 4,500 pesakit menjalani PD setakat 31 Dis 2018, bersamaan 10% daripada semua pesakit yang menjalani dialisis.

Dr Sunita Bavanandan, presiden Persatuan Nefrologi Malaysia berkata terdapat bukti menunjukkan dialisis peritoneal menawarkan penjimatan kos lebih baik berbanding hemodialisis.

Peningkatan bilangan pesakit yang memilih PD berita baik bagi Kementerian Kesihatan, yang mengalakkan pilihan itu.

“Berbanding hemodialisis, di mana jadual dialisis harus ditetapkan untuk semua pesakit, dialisis peritoneal lebih fleksibel untuk kegiatan dan kemudahan pesakit,” kata Sunita.

“Juga terdapat bukti dari kebanyakan negara maju dan membangun menunjukkan PD menawarkan penjimatan kos yang lebih baik berbanding hemodialisis, termasuk di Malaysia.”

PD memelihara fungsi buah pinggang yang ada bagi tempoh yang lebih panjang daripada hemodialisis, memberikan lebih banyak kebebasan dalam pemakanan dan gaya hidup pesakit.

Chee See Soon, seorang pesakit yang menjalani dialisis peritoneal berkata, prosedur itu lebih fleksibel dan memudahkan pergerakan.

Risiko jangkitan bawaan darah seperti hepatisid dan HIV juga lebih rendah bagi pesakit yang menjalani PD kerana tidak berkongsi mesin dengan pesakit lain. Rawatan itu juga lebih lembut untuk jantung memandangkan prosesnya yang berterusan mengurangkan risiko penunruan tekanan darah secara mendadak, yang boleh berlaku dalam hemodialisis.

Chee See Soon, seorang pesakit yang menjalani PD berkata dia memilih rawatan itu kerana ia fleksibel.

“Saya fikir kebanyakan pesakit akan tersentak sejenak kerana banyak benda baru yang harus dipelajari,” katanya.

“Tetapi kita tak harus ragu-ragu. Ia lebih fleksibel dan memudahkan pergerakan. Saya melawat Amerika Syarikat, London, Paris, Hong Kong, Taiwan, dan Thailand semasa menjalani dialisis peritoneal.”



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3gJMFb0
via IFTTT

No comments:

Post a Comment