Breaking news

Tuesday 28 July 2020

Langkah terhadap Hagia Sophia kerana politik, bukan agama

Perubahan kedudukan Hagia Sophia daripada sebuah muzium kepada masjid ternyata amat popular dalam kalangan umat Islam bukan saja di Turki tetapi seluruh dunia. Pernyataan emosional kelihatan di alam maya yang menunjukkan tindakan Presiden Reccep Tayyip Erdogan bukan saja disambut baik tetapi ia juga menaikkan wibawa beliau sebagai seorang pemimpin Islam.

Kelihatannya pihak yang membantah adalah orang bukan islam seperti kalangan Barat, sama ada golongan sekular mahukan Kristian. Dalam kalangan Kristian, kedua-dua pihak iaitu Ortodoks dan bukan Ortodoks seperti Katolik dan Protestan turut membantah.

Bagaimanapun ada kalangan orang Islam turut membantah menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid semula. Antaranya tokoh Islam di negara Barat yang mendokong sekularisme seperti Mustafa Akyol, seorang penulis Turki yang tinggal di New York.

Begitu juga novelis Turki dan pemenang Hadiah Nobel, Orhan Parmuk, seorang pemastautin Istanbul. Beliau membantah tindakan Erdogan yang menurutnya melanggar kedudukan sekularisme Turki.

Sungguhpun golongan sekular di Turki pastinya tidak dapat menerima tindakan Erdogan tetapi parti pembangkang utama, Parti Republikan Rakyat Turki (RHP) yang ditubuhkan Kamal Attaturk tidak menyatakan bantahan. Ini kerana besar kemungkinan, tindakan Erdogan itu amat popular hingga mereka tidak mahu melawan arus dan kehilangan undi.

Parti yang terang-terang membantah tindakan Erdogan itu ialah Parti Komunis Turki (TKP), sebuah parti kecil tetapi mempunyai penyokong dan pengundi tegar. Penentangannya atas dasar menjadikan semula Hagia Sophia sebagai masjid bercanggah dengan prinsip sekularisme Republik Turki.

Attaturk pemimpin Turki yang mengubah kedudukan Hagia Sophia daripada sebuah masjid kepada muzium. Tindakan beliau itu selaras dengan perubahan asas negara, sebagai sebuah Daulah Islamiah semasa Kekhalifahan Uthmaniah kepada negara sekular Republik Turki.

Dalam dasar sekularisme, agama dipisahkan daripada negara. Hagia Sophia yang merupakan bangunan warisan negara wajar dijadikan muzium dan tidak dikekalkan sebagai sebuah masjid yang berfungsi.

Tetapi kerajaan Erdogan menyatakan tindakan menjadikan Hagia Sophia itu kembali sebagai masjid tidak bererti beliau meninggalkan sekularisme. Menurut pihaknya, tindakan beliau adalah untuk menegaskan kedaulatan Turki terhadap Hagia Sophia. Adalah menjadi hak Turki untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi itulah kehendak kebanyakan rakyat republik itu.

Namun apa yang juga menjadi persoalan adalah mengapa Erdogan melakukan langkah itu, dan mengapa ia dilakukan sekarang? Adakah ia suatu yang perlu? Maknanya Erdogan melakukannya atas dorongan tertentu yang tidak boleh ditangguh-tangguhkan.

Erdogan sudah memerintah Turki begitu lama. Kalau mengikut aspirasi perjuangannya, dari awal lagi beliau mahukan Hagia Sophia ditukar kembali menjadi masjid. Itulah juga aspirasi parti pro-Islamis beliau, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan para penyokongnya.

Tetapi mengapakah ia dilakukan sekarang? Tentulah banyak pemerhati melihat tindakan Erdogan ini semata-mata kerana untuk meraih sokongan. Itulah yang dirasakan oleh salah seorang pihak dari Al-Jazeera ketika membuat liputan mengenai peristiwa ini.

Beliau mempersoalkan mengapakah kerajaan Turki memberi perhatian terhadap Hagia Sophia sedangkan ekonomi republik itu sedang menghadapi masalah dengan ancaman wabak Covid-19 yang belum selesai. Maknanya, kemungkinannya langkah Erdogan ini adalah untuk mengalih perhatian rakyat daripada soal ekonomi.

Untuk persoalan itu, jurucakap kerajaan Turki menyatakan apa yang dilakukan terhadap Hagia Sophia adalah soal kedaulatan dan bukannya ekonomi, atau untuk meraih sokongan rakyat.

Apabila Hagia Sophia itu menjadi simbol kedaulatan Turki, bermakna ia bukannya soal agama. Ini berlaku walaupun umat Islam di seluruh dunia melihat langkah Erdogan itu sebagai tindakan keagamaan, lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan institusi masjid, amal ibadat dan hakikat bahawa Hagia Sophia merupakan mercu tanda kemenangan Kekhalifahan Uthmaniah ke atas Kemaharajaan Bizantin.

Perkara ini dapat difahami jika seseorang tidak melihat Hagia Sophia sebagai rumah ibadat, sama ada gereja atau masjid. Jika bangunan warisan dunia itu dilihat sebagai simbol politik, dan bukannya agama, maka ia lebih jelas.

Sememangnya Maharaja Justinian membina Hagia Sophia sebagai gereja, iaitu sebuah bangunan keagamaan. Tetapi ia bukan bertujuan agama semata-mata. Agama yang digunakan itu adalah untuk kekuatan politik. Maharaja mahu menjadi Constantinople sebagai pusat Empayar Bizantin untuk menggantikan Rom. Ini adalah kekuasaan, kedaulatan dan politik. Agama hanyalah satu juzuk politik. Bukan sebaliknya.

Maka begitu jugalah apabila tentera Salib menakluki Constantinople dan mengubah Hagia Sophia daripada sebuah gereja Ortodoks kepada gereja Katholik. Ia bukan soal agama. Secara prinsip, agama tidak menyuruh kekejaman, pemusnahan dan paksaan. Maka perubahan itu kerana politik dan kekuasaan.

Maka begitu jugalah apabila tentera-tentera Uthmaniah menakluk Constantinople dan Hagia Sophia diubah daripada gereja untuk menjadi masjid. Tindakan ini bukan kerana agama, tetapi politik. Kalau dari segi agama, tentulah dilarang merampas sebuah rumah ibadat agama lain untuk dijadikan masjid. Maka tindakan menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid adalah untuk menegaskan kedaulatan Uthmaniah ke atas Empayar Bizantin.

Constantinople dijadikan Istanbul. Hagia Sophia menjadi Aya Sofia.

Begitu jugalah apabila Republik Turki ditubuhkan atas runtuhan Kekhalifahan Uthmaniah. Pada masa Attaturk berjuang mempertahankan negaranya, Turki hampir tidak dapat diselamatkan. Greece, Rusia, Perancis dan Britain merobek-robek wilayah Turki.

Tetapi Attaturk dapat menghalang kemusnahan negaranya. Perjanjian Lausanne menetapkan sempadan Turki dan Istanbul, termasuk Hagia Sophia kekal dalam republik itu, dan tidak terlepas pada Greece.

Untuk keutuhan negaranya, Attaturk menjadikan Turki sebagai republik sekular dan bukannya daulah Islamiah seperti Kekhalifahan Uthmaniah. Bukan itu saja, beliau juga menjadikan Turki sebagai negara Eropah. Sebab itu beliau bertindak menjadikan Hagia Sophia sebagai sebuah muzium. Ia merupakan satu tindakan politik.

Sungguhpun Turki berusaha keras untuk menjadi negara sekular Eropah, tetapi mereka tidak diterima. Walaupun Eropah menampilkan diri mereka sebagai benua sekular yang atheisme bebas di dalamnya, tetapi mereka tetap beridentitikan Kristian, tidak kira sama ada Katholik, Protestan, atau Ortodoks.

Sedangkan Islam sebahagian daripada Eropah. Mereka tidak dapat menerima Turki dan keberatan untuk merangkul Bosnia-Herzegovina, Albania, dan Kosovo.

Walaupun Turki pernah berusaha untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU), mereka tidak dapat diterima. Ada negara EU yang menghalang pembinaan masjid. Maknanya Eropah mengamalkan sekularisme dan demokrasi berpilih.

Dalam keadaan ini, apa yang dilakukan oleh Erdogan itu bukan saja menegaskan kedaulatan Turki terhadap Hagia Sophia, tetapi lebih penting lagi ialah bahawa negara itu sebahagian daripada Eropah. Mereka wajar memberi layanan saksama pada Turki.

Tetapi melihat bagaimana Eropah melayani Turki, ternyata Barat mahu menolak keluar daripada lingkungan. Mereka mahu Turki berada sebagai sebahagian daripada rantau Timur Tengah dan Dunia Islam. Maka tiada laluan lain bagi Erdogan selain daripada meniti pada jejak-jejak Ottoman, kembali menjadi sebahagian daripada Timur Tengah dan Dunia Islam.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2X2Csif
via IFTTT

No comments:

Post a Comment