KUALA LUMPUR: Tindakan memboikot komoditi yang dikaitkan dengan pembasmian hutan hanya akan menggalakkan eksport komoditi sama, tetapi mempunyai ciri-ciri piawaian alam sekitar yang jauh lebih rendah.
Penasihat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Fazlun Khalid berkata Kesatuan Eropah (EU) secara tidak langsung mengakui pendekatannya sebelum ini bagi menghentikan pembasmian hutan akibat minyak sawit juga berkemungkinan besar tidak berjaya.
Katanya, ketua pengarah bagi dasar luar EU Parlimen Eropah turut memetik kajian saintifik terbaru menyatakan usaha yang hanya menumpukan pengurangan import minyak sawit tidak berkesan dari segi alam sekitar.
“Sebaliknya, ia merumuskan ‘adalah lebih berkesan dan kurang kos sekiranya Malaysia dan Indonesia’ – pengeluar terbesar minyak sawit dunia – melaksanakan moratorium mengenai pembasmian hutan (menyasarkan kawasan terbabit).
“Ini kerana tindakan memboikot minyak sawit itu sebaliknya hanya mengalihkan permintaan terhadap minyak sayuran kurang efisien yang menggunakan lebih banyak tanah dan berpotensi menggalakkan pembasmian hutan jauh lebih buruk,” katanya dalam ruangan komentar Euractiv, satu rangkaian media bebas pan-Eropah yang khusus dalam dasar EU.
Fazlun yang juga pengasas Yayasan Islam untuk Ekologi dan Sains Alam Sekitar serta penulis “Signs on the Earth – Islam, Modernity and the Climate Crisis” berkata, tindakan boikot itu juga memberi isyarat kepada negara pengeluar itu yang pelaksanaan kaedah pengeluaran mampan sia-sia kerana Eropah tidak akan membeli minyak sawit itu.
“Persoalannya adalah bagaimana menyalurkan insentif kepada negara sedang membangun untuk melaksanakan dasar berkesan membabitkan usaha pemuliharaan hutan.”
Katanya, Jawatankuasa Pertanian EU menerusi laporan baru-baru ini menggesa kerjasama perdagangan inklusif baru diwujudkan dengan Global South yang merupakan cubaan bagi menangani isu itu.
Jawatankuasa itu turut memberi amaran hanya piawaian mandatori alam sekitar dan boleh dilaksanakan mengikut undang-undang boleh menghentikan pembasmian hutan.
Namun, pada masa sama, ia mengambil maklum piawaian sedemikian tidak boleh dilaksanakan sebelah pihak kerana ia memerlukan persetujuan negara pengeluar.
Fazlun menggesa EU melaksanakan pendekatan berbentuk gabungan ganjaran dan penalti dari segi perjanjian perdagangan.
“Persoalan besar yang tiada dalam tindak-tanduk EU setakat ini ialah bagaimana mencapai kerjasama itu? Ada satu cara, iaitu menerusi kerjasama dengan Global South yang bermaksud melaksanakan pendekatan ganjaran dan penalti yang agresif dalam perjanjian perdagangan.
“Negara yang menepati piawaian alam sekitar boleh disenaraikan untuk perjanjian perdagangan bebas, sebaliknya negara enggan berbuat demikian akan diketepikan daripada meja rundingan. Ini akan menjadi satu langkah besar bagi merangsang revolusi ekonomi hijau secara global.
“Di Malaysia, terdapat banyak sebab bagi usaha itu. Piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah skim pensijilan minyak sawit dengan mandat kerajaan dan pertama seumpamanya di dunia serta di peringkat nasional yang boleh dilaksanakan menerusi undang-undang.”
Berbeza skim lain seperti Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang lebih terarah kepada pengeluar korporat, beliau berkata, skim MSPO sebaliknya wajib untuk semua pengeluar minyak sawit dan lebih mudah dari segi akses untuk pekebun kecil serta terikat denda untuk mereka yang enggan mematuhinya.
“Malangnya, EU masih ketinggalan. Laporan ketua pengarah itu misalnya memetik penyelidikan lama dari tahun lepas untuk menuduh Malaysia dan Indonesia ‘dalam cubaan mengehadkan pembasmian hutan bagi tujuan penanaman sawit, terbukti gagal mencapai matlamat ditetapkan’ kurang 1/3 daripada pengeluaran minyak sawit itu mempunyai pensijilan dan seringkali berlaku pertindihan bagi kawasan terbabit.
“Namun, (tuduhan) ini tidak benar. Sejak menjadikan skim MSPO itu sebagai mandatori, sebanyak 63.2% ladang minyak sawit Malaysia mempunyai pensijilan MSPO setakat akhir 2019. Malah, Malaysia turut menyasarkan untuk memastikan pensijilan itu mencecah 100% menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, penyelidikan lanjutan baru turut menunjukkan hutan Amazon menyaksikan pembasmian hutan semakin ketara dan skim MSPO itu sebaliknya terbukti berkesan.
Fazlun memetik Global Forest Watch bagi World Resources Institute yang berkata, kadar pembasmian hutan Malaysia berkurangan bagi 3 tahun berturut-turut – satu perkembangan yang disumbangkan usaha peringkat tempatan bagi mengurangkan aspek itu.
Semua ini, katanya, hanya membuktikan jurang persepsi EU dan fakta sebenar di lapangan, selain memaparkan EU bertindak melulu dalam dasar pembasmian hutan tanpa memberi perhatian kepada fakta penting serta kurang melakukan libat urus dengan negara yang sebaliknya terbukti mencatat kemajuan sebenar.
“Apa yang pasti, kita tidak boleh terlalu bersikap optimis. Kadar pembasmian hutan kekal di luar kawalan dan jika tidak bertindak sekarang, krisis Covid-19 misalnya membuktikan betapa rapuhnya peradaban manusia.
“Namun, skim MSPO itu menunjukkan masih ada harapan untuk mencatat kemajuan yang mungkin boleh diperluaskan ke rantau lain yang berdepan masalah pembasmian hutan.
“Inilah alasan yang sepatutnya dijadikan EU untuk bekerjasama lebih erat dengan negara sedang membangun dari segi sokongan berbanding menyisihkan usaha pemuliharan yang mendapat mandat negara.
“Ini juga membantu bagi mewujudkan kerangka kerjasama global baru yang boleh menerapkan perdagangan barangan dan perkhidmatan mampan sambil menggunakan kuasa undang-undang untuk menamatkan pembasmian hutan.”
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZjyQtU
via IFTTT
No comments:
Post a Comment