Breaking news

Wednesday 22 July 2020

Digelar ‘Miloman’ lelaki ini menjadi pengumpul koleksi barangan Milo dari era 1950an

Yusof Ali bersama koleksi barangan Milo yang dikumpulnya sejak 15 tahun lalu.

Sedar atau tidak sudah lebih 70 tahun jenama “Milo” bertapak di Malaysia.

Milo berjaya menjadi pilihan ramai sejak ia mula diperkenalkan hingga membuatkan jenama ini cukup sinonim di kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan kanak-kanak dan remaja.

Di sebalik penawaran air malt coklat, jenama ini juga turut berevolusi dari segi logo serta pembungkusan dalam menawarkan pelbagai jenis pek dan hadiah keluaran terhad sejak mula diperkenalkan.

Baru-baru ini tular seorang individu iaitu Mohd Yusof Ali yang lebih dikenali sebagai “Miloman”.

Yusof turut mempunyai sepasang kasut jenama Milo.

Ia berikutan kegilaan beliau dalam mengumpul barangan keluaran Milo bermula daripada model terbaru sehinggalah kepada barangan keluaran tahun 1950.

Hobi yang dimulakan sejak 15 tahun lalu ini pada mulanya sekadar suka-suka nampaknya menjadi semakin serius setelah beliau memperuntukkan ruangan khas untuk meletak koleksi berharganya.

Mengulas mengenai bagaimana beliau mula terjebak dengan hobi ini, katanya kegilaan mengumpul barangan keluaran Milo sebahagian daripada memori yang dikongsikan bersama arwah ayahnya.

Kongsinya lagi, sekitar tahun 1980, pengedar minuman Milo akan singgah ke kedai runcit ayahnya untuk mengedarkan pek minuman Milo.

Menariknya, jenama ini sering kali menawarkan hadiah menarik yang terdiri daripada kotak pensel dan bekas air.

Antara kereta jenama Milo yang berjaya dikumpulnya.

Dan sebaik usianya mula meningkat dewasa, beliau mula sedar jenama ini mengumpul banyak nostalgia buat dirinya hingga membuatkannya mulai mengumpul lebih banyak barangan keluaran Milo.

Siapa sangka, Yusof kini merupakan antara pengumpul barangan keluaran Milo terbesar di Malaysia yang merangkumi 1,000 jenis barang.

Tidak hanya mengumpul barangan keluaran Milo, beliau kini turut aktif sebagai ahli group Facebook Kelab Peminat Barangan Milo Malaysia.

Group itu kini berjaya mengumpul lebih 6,000 ahli dimana orang ramai berpeluang berkongsi serta menjual barangan keluaran Milo serata negara.

Sebahagian mug Milo yang masih disimpan dan dijaga dengan baik.

Beliau juga dikatakan turut menjalankan perjumpaan bersama peminat barangan Milo yang lain di galeri Milo rumahnya.

Mengulas mengenai pelan jangka masa panjang hobinya, Yusof mengatakan beliau tidak mempunyai perancangan untuk berhenti daripada mengumpul barangan keluaran Milo setakat ini.

Beliau juga dilaporkan telah membelanjakan sekitar RM40,000 terhadap hobinya setakat ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZLDcdo
via IFTTT

No comments:

Post a Comment