Breaking news

Sunday, 19 July 2020

Bayi baru lahir dicampak dari tingkat 2 rumah teres

Polis berkata, bayi itu dalam keadaan kritikal akibat kecederaan di kepala dan dirawat di unit rawatan rapi Neonatal Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

IPOH: Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan, ditemui berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres 2 tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada 12.35 tengah hari daripada orang awam.

Beliau berkata, bayi itu dicampak seorang remaja perempuan 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di bahagian belakang tingkat atas rumah berkenaan dengan ketinggian kira-kira 9m.

“Seorang saksi yang juga jiran suspek mendengar bunyi kuat di bahagian bumbung rumahnya dan kemudian menemui bayi berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan di bilik suspek yang belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah itu dari Batu Caves, Selangor mendapati ada kesan tompokan darah pada jeriji tingkap serta cadar biliknya.

Katanya, bayi malang itu kini dalam keadaan kritikal akibat kecederaan pada kepala dan dirawat di unit rawatan rapi Neonatal Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Suspek dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut…keterangan lanjut belum diterima kerana remaja itu dalam keadaan lemah akibat mengalami pendarahan selepas melahirkan bayi berkenaan.”

Katanya, soal siasat ke atas ibu dan 2 adik suspek mendapati mereka tidak tahu mengenai kehamilannya remaja itu dan semasa kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melahirkan anak, sebaliknya hanya memberitahu baru datang haid.

Beliau berkata, saksi kes it akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3eJo0lt
via IFTTT

No comments:

Post a Comment