Breaking news

Saturday, 18 July 2020

Anak mula batuk selepas kembali ke sekolah? Ini 8 cara hilangkan batuk anak anda

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sekolah akan mula dibuka bermula 15 Julai 2020, ramai ibu bapa yang bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka apabila perlu kembali sekolah.

Biarpun kes penularan wabak Covid-19 semakin berkurangan, namun ramai ibu-bapa yang masih teragak-agak untuk melepaskan anak-anak berada di luar kawasan rumah.

Maklumlah, kanak-kanak agak sukar dikawal bagi mematuhi SOP.

Dalam tempoh beberapa minggu ini, cuba perhatikan tahap kesihatan anak-anak anda.

Jika demam, batuk atau selesema, pastikan mereka tidak ke sekolah supaya tidak menjangkiti mereka yang lain.

Jika anak anda mengalami batuk dan ingin cuba merawatnya sendiri di rumah, berikut merupakan 8 cara hilangkan batuk yang boleh jadikan panduan.

1. Minum madu

Dalam satu kajian pada 2007, madu diklasifikasikan sebagai ramuan atau rawatan yang paling berkesan dalam 100 kes batuk di kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, jangan gunakan madu untuk kanak-kanak di bawah usia 1 tahun kerana sistem penghadaman bayi masih lemah.

Untuk mendapatkan hasil terbaik, campurkan madu dengan jus lemon atau air halia untuk menambahkan dos vitamin C, minyak pati dan antioksidan.

2. Minum banyak air

Jika anak anda batuk serta mendapat demam selesema, pastikan mereka mengambil air lebih banyak kerana air membantu menipiskan mukus, kemudian memulihkan masalah hidung berair serta melegakan sakit tekak.

Bagi bayi di bawah umur 6 bulan, anda boleh berikan susu badan yang suam (dihangatkan sedikit) atau susu formula suam.

Bagi bayi yang lebih berusia, anda boleh berikannya air kosong, jus atau susu dalam keadaan suam.

Selain itu, boleh juga sediakan sup ayam yang sedikit hangat, air coklat panas ataupun bubur panas untuk melegakan sakit tekak si manja.

3. Beri makan halia

Cara ini mungkin agak sukar kerana rasa halia yang pedas. Tetapi ingat, halia adalah “home remedy” yang baik untuk batuk kerana diketahui mempunyai khasiat antivirus.

Campurkan dengan sedikit madu untuk mengatasi rasa kuat halia.

4. Minum cuka epal ( “apple cider vinegar”)

Terkenal dengan sifat antibakteria, cuka epal sangat berkesan untuk mengatasi masalah batuk yang kering di kalangan anak-anak.

Cuka epal boleh dicampur dengan halia yang dihancurkan untuk menyembuhkan batuk. Selain batuk, cuka epal juga boleh melegakan sakit tekak.

5. Hisap atau sedut “Popsicle”

Menghisap “popsicle” merupakan cara yang baik untuk melegakan tekak yang gatal.

Beri anak anda gula-gula, “popsicle”atau ais yang dihancurkan untuk dihisap jika dia berusia lebih 4 tahun.

6. Posisikan kepala di kedudukan yang tinggi

Sekiranya anak anda berusia lebih dari setahun, letakkan beberapa bantal di belakang bahu dan kepala agar dia dapat tidur dalam kedudukan yang sedikit tegak.

Ini membolehkan anak anda bernafas dengan lebih mudah.

Untuk bayi, letakkan bantal di bawah tilam untuk tinggikan kawasan di mana dia meletakkan kepalanya.

7. Stimkan ruang bilik

Jadikan bilik mandi sebagai bilik stim, seperti yang disyorkan oleh William Sears, M.D., pakar kanak-kanak dan pengarang The Baby Book dan berpuluh-puluh buku penjagaan kanak-kanak yang lain.

Pasangkan pancuran air panas, tutup pintu, dan duduk bersama dengan anak anda selama 15 minit sebelum tidur dan sekali lagi selama 15 minit pada waktu pagi.

Wap membantu melegakan kesakitan dada dan hidung, menjadikannya lebih mudah untuk kanak-kanak batuk.

8. Bersihkan bilik anak anda

Sekiranya batuk anak anda kering dan berbunyi serak, ia mungkin disebabkan oleh asma atau alahan.

Oleh itu, hindari perkara-perkara yang mengundang alahan. Jangan memakai minyak wangi atau menggunakan penyegar bilik, pastikan tiada haiwan peliharaan berkeliaran dan keluarkan patung-patung permainan (pengumpul habuk) dari tempat tidur anak anda.

Selain itu, jangan merokok di rumah atau berhampiran anak anda.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3fHrCp9
via IFTTT

No comments:

Post a Comment