Breaking news

Tuesday, 9 June 2020

Saringan lebih wajar daripada larang warga asing, kata aktivis

Sekatan ke atas solat di masjid dilonggarkan, tetapi warga asing masih dilarang.

PETALING JAYA: Seorang aktivis Islam menggesa kerajaan mempertimbangkan saringan kesihatan yang ketat di masjid daripada melarang warga asing bersolat di situ.

Pengasas dan pengarah Islamic Renaissance Front, Dr Ahmad Farouk Musa berkata larangan itu seakan-akan xenofobia.

“Walaupun saya faham arahan itu tujuannya untuk melindungi orang Islam tempatan memandangkan kes terbaru kebanyakannya dalam kalangan warga asing, cara lebih wajar untuk selesaikan isu itu adalah dengan menggunakan protokol standard yang ada dalam saringan,” kata Farouk, seorang pakar bedah kardiotoraks.

Beliau berkata protokol seperti pemeriksaaan suhu badan di pintu masuk dan mengimbas kod bar seperti yang diamalkan di kedai boleh dilaksanakan di masjid.

Dr Ahmad Farouk Musa.

“Bukankah itu akan dilihat sebagai agama yang sifatnya lebih sama rata dan tidak mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi?” katanya.

“Islam tidak patut dilihat sebagai agama yang membenarkan sebarang bentuk diskriminasi dan prejudis.”

Kerajaan berkata larangan ke atas warga asing itu kerana bilangan kes Covid-19 yang tinggi dalam kalangan warga asing baru-baru ini, serta memberikan keutamaan kepada rakyat kerana kawalan ke atas bilangan jemaah dan ruang masjid.

“Pendatang tidak patut dipersalahkan atas pandemik itu kerana kita perlu faham layanan kita terhadap mereka menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan,” kata Farouk.

“Adakah kita sudah lupa masyarakat Islam pertama dalam sejarah Islam sebenarnya pendatang dari Mekah?”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran berkata langkah bagi menghalang penularan virus memerlukan penjarakkan sosial, pemakaian topeng, dan mengamalkan kebersihan diri.

Ruang juga harus dipertimbangkan. “Kawasan yang tertutup boleh meningkatkan jangkitan walaupun dengan penjarakkan sosial. Harus elak kesesakan sepanjang masa,” katanya.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2BEgZ7t
via IFTTT

No comments:

Post a Comment