Breaking news

Monday, 8 June 2020

PPBM, BN, PAS muktamad pembahagian kerusi PRU15

Takiyuddin Hassan berkata, PAS komited terus mempertahankan kedudukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yasin dan semua spekulasi pihak pembangkang hanya perang psikologi.

PETALING JAYA: PPBM, BN dan PAS yang membentuk Perikatan Nasional (PN) meneruskan kerjasama politiknya dengan membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 dan memuktamadkan pembahagian kerusi, walaupun tarikh belum ditentukan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat yakin kerjasama dan toleransi semua parti dalam PN akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan, tidak kira di peringkat persekutuan atau negeri hingga akhir penggal.

Katanya, kerjasama politik PAS, BN dan PPBM semakin mantap sehingga berjaya memperkukuhkan kedudukan kerajaan PN.

“Tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya berupa perang psikologi semata-mata, PAS akan terus komited mendukung dan mempertahankan kedudukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yasin bersama barisan Kabinetnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 17 Mei lalu, pemimpin PPBM, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Sebelum ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keengganan mengadakan persidangan Dewan Rakyat pada Mei lalu seperti biasa merupakan isyarat PN tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan takut menghadapi undi tidak percaya.

Tetapi, sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu menyaksikan 114 ahli Parlimen duduk di blok kerajaan, sekaligus memberi gambaran Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Minggu lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat BN sudah bersiap sedia menghadapi PRU15. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan bekas perdana menteri, Najib Razak di rumahnya.

Pilihan raya mungkin berlaku jika PH atau parti sekutu PN menentang Muhyiddin.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2XGB0CX
via IFTTT

No comments:

Post a Comment