Demi melepaskan kerinduan terhadap ahli keluarga tersayang, sesiapa sahaja sanggup melakukan apa sahaja demi bertemu dengan mereka.
Itulah yang dilakukan seorang nenek, di New Jersey apabila sanggup memakai kostum berbentuk unicorn semata-mata mahu menemui 2 cucunya.
Tindakan itu dilakukan bagi menjaga penjarakan sosial dan larangan berjabat tangan susulan pandemik Covid-19.
Wanita itu dikenali Maureen Sweeney tinggal tidak jauh dari rumah cucunya, Rylan dan Lincoln, namun mereka tidak pernah bertemu sejak pandemik itu semakin buruk, 17 Mac lalu.
Gara-gara mahu melepaskan kerinduan, Sweeney sanggup berpanas dalam kostum warna-warni itu dan berpeluang memeluk cucunya.
Pertemuan penuh emosi terbabit dirakam anak lelaki Sweeney, Hugh Dillon pada 24 Mei, menurut Fox News.
Video itu dimuat naik di Instagram dan ditonton lebih 2,000 kali, selain mendapat reaksi warganet yang ada antaranya tersentuh hati melihat pertemuan semula itu.
Bagi Sweeney, hanya cara itu dia dapat melepaskan rindu bertemu dan mendakap cucunya, malah menyifatkan pembelian kostum kuda bertanduk itu sangat berbaloi.
“Saya cuba memikirkan cara yang membolehkan kami bertemu tetapi tidak perlu bersentuhan rapat kerana amalan biasa itu tidak dapat kita buat lagi dalam situasi sekarang.
“Nyata ia amat berbaloi apabila saya dapat memeluk dan memegang tangan cucu saya,” katanya seperti dilapor Inside Edition.
Dilaporkan kaedah sama turut digunakan seorang wanita ketika melawat ibunya di pusat jagaan dengan dia memilih kostum badak air.
Permintaan terhadap kostum meningkat sehingga 500% sejak Covid-19, dan ada pihak mengambil kesempatan dengan menjual pada harga mahal cecah RM522 sepasang.
Bagaimanapun, jurucakap Pusat Kawalan Penyakit memberi amaran bahawa pemakaian kostum sedemikian tetap tidak memberi perlindungan sepenuhnya terhadap virus Covid-19, berbanding kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebenar.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2zGyDHk
via IFTTT
No comments:
Post a Comment