Breaking news

Tuesday, 30 June 2020

Kembali ke pangkal jalan untuk perjuangan Malaysia lebih baru

Ada 2 sikap yang saling bertentangan dalam menghadapi keadaan negara hari ini. Pertama, ambil sikap negatif. Atau kedua, ambil sikap positif.

Apa yang dimaksudkan dengan bersikap negatif ialah berputus harap dengan keadaan yang ada, dan menerimanya sebagai sesuatu yang tidak dapat dilakukan apa-apa. Ia juga merupakan suatu sikap pesimis.

Sikap kedua adalah sebaliknya. Bukan saja seseorang boleh terus menaruh harapan tetapi sanggup bangkit dan tampil untuk mengubah keadaan. Ia bermakna mengambil kepercayaan bahawa perubahan untuk keadaan yang lebih baik boleh dilakukan. Ia juga merupakan suatu sikap optimis.

Untuk itu perlu dilihat apakah yang dikatakan keadaan sekarang? Pertamanya, negara kini sedang dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP). Selepas fasa ini, yang dirasakan boleh berjaya, ancaman Covid-19 akan dianggap dapat dikalahkan.

Tetapi dalam pada itu, Malaysia terpaksa mengamalkan norma baru yang bersifat mengongkong hinggalah ditemui vaksin untuk Covid-19, dijangka pada tahun depan, atau setahun lagi.

Akibatnya keadaan ekonomi pasti terus terjejas dalam suasana tidak menentu dengan kesan sosial yang juga dijangka berat.

Dalam keadaan ini sewajarnya para cerdik pandai negara, para profesional, dan ilmuwan bergabung tenaga mencari jalan mengatasi ancaman krisis ekonomi dan sosial. Ini perkara serius dan seseorang wajar tidak mengambil mudah dengan beranggapan bahawa keadaan boleh kembali pada kedudukan sebelum Covid-19.

Ini membawa kepada keadaan yang juga penting, iaitu politik. Negara tidak boleh kembali kepada keadaan di mana Pakatan Harapan menjadi kerajaan bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad. PH sudah terburai walaupun mandat rakyat pilihan raya umum ke-14 masih terpakai hingga 2023.

Keadaan politik hari ini berada dalam 2 keadaan. Di satu pihak ialah kerajaan Perikatan Nasional yang tidak memiliki mandat rakyat dan selanjutnya tidak perlu memenuhi sebarang janji manifesto. Tetapi kerajaan ini dipimpin dan diterajui oleh sebahagian bekas ahli politik PH.

Walaupun kerajaan ini telah dan sedang memimpin usaha negara melawan Covid-19 tetapi ia masih belum berdepan dengan sidang Dewan Rakyat. Ditambah pula kerajaan ini melantik ahli-ahli politik menerajui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang jelas meragukan tidak menyumbang pada keyakinan terhadap prospek kebangkitan ekonomi negara.

Di pihak satu lagi ialah PH yang sejak kehilangan kekuasaan berusaha hendak mengambil balik hak mandat rakyatnya. Bukan saja mereka tidak berjaya tetapi perbalahan antara Mahathir dan Anwar Ibrahim hanya mengukuhkan kedudukan Muhyiddin Yassin dan kerajaan beliau.

Maka dalam keadaan sekarang, adalah wajar bahawa rakyat tidak boleh mengharapkan PH. Sama ada Mahathir dan penyokongnya menjadi sebahagian daripada PH atau tidak, gerakan yang berjaya mengalahkan Barisan Nasional pada 2018 sudah tinggal menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

Keadaan ini akan membawa kepada kerajaan PN terus mentadbir sehingga pilihan raya ke-15. Apabila PRU baru diadakan kelak, dengan dijangkakan bahawa Barisan Nasional akan kembali berkuasa. Sama ada ia berada dalam bentuk Muafakat Nasional dengan sokongan PAS ataupun ia mampu kembali seperti dulu dengan penyertaan semula Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sementara itu PH pimpinan Anwar tanpa bersama penyokong Mahathir sudah menjadi begitu kecil hinggakan sukar untuk membayangkan ia akan mampu mengalahkan BN.

Keadaan politik ini tentu mendatangkan kekecewaan pada sebilangan besar rakyat yang mengharapkan suatu Malaysia Baharu selepas kemenangan PH pada 2018. Mereka mungkin berasakan dikecewakan bukan saja oleh Muhyiddin dan Azmin Ali tetapi juga Mahathir dan Anwar yang tidak boleh berpakat.

Kekecewaan ini menimbulkan gambaran bahawa sistem pilihan raya negara ini tidak menghormati mandat rakyat. Apa yang utama adalah pilihan ahli Parlimen dan bukannya pilihan para pengundi.

Ia menjadikan seolah-olah proses pilihan raya di negara ini tidak bermakna. Ia hanya merupakan satu proses untuk mengisi jawatan politik dan bukannya memenuhi aspirasi mandat rakyat.

Satu lagi perkara penting ialah kempen penentang kerajaan PH yang memainkan isu perkauman dan keagamaan selama hampir 2 tahun sebelum PN memperoleh kuasa.

Walaupun tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan orang Melayu kepada pakatan BN-PAS, tetapi lebih utama ialah gagasan yang ditekankan dalam kempen itu. Iaitu asas negara ini adalah pada mempertahan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Ia membayangkan bahawa kuasa hanya wajar berada pada tangan Umno-PAS. Segala amalan buruk para pemimpin Umno sebelum ini dianggap tidak relevan. Apa yang penting hanyalah kuasa orang Melayu. Hakikat bahawa kerajaan PH juga adalah bawah pimpinan Melayu dipandang sepi. Mereka menolak Malaysia Baru. Mereka mahukan Malaysia Lama.

Dalam keadaan ini, seseorang boleh menghadapinya dengan penetapan sikap, sama ada sikap positif atau negatif. Kalau bersikap negatif, seseorang boleh saja melupakan politik dan membiarkan urusan negara pada ahli politik.

Sama ada negara menjadi lebih baik atau buruk, seseorang boleh saja menerimanya. Kalau ia dijangka menjadi lebih buruk, seseorang boleh saja bersikap pesimis. Sikap ini juga berpegang pada asas bahawa rakyat tidak dapat berbuat apa-apa terhadap sebarang salah laku ahli politik sedia ada.

Tetapi bagi mereka yang memilih untuk menjadi optimis dengan mengambil sikap positif, maka apa yang boleh dilakukan ialah kembali ke pangkal jalan perjuangan asal. Ini kerana mereka sudah tersesat ekoran kejatuhan kerajaan PH.

Apakah yang dimaksudkan dengan pangkal jalan itu? Untuk mencari pangkal jalan, perlu dilihat di mana permulaan jalan perjuangan. Perjalanan perjuangan adalah panjang, malah boleh dilihat sebagai sentiasa bergerak sejak dari dahulu lagi.

Tetapi untuk memudahkan perbincangan, permulaannya boleh dikira apabila negara ini diwujudkan iaitu sewaktu Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tetapi ia juga boleh dikira lebih awal. Umpamanya semasa berakhirnya Perang Dunia Ke-2.

Mungkin waktu itu boleh dianggap terlalu lama. Maka boleh dicari juga pangkalnya pada perjuangan pembangkang melawan Mahathir. Maka untuk itu, pangkal jalan boleh dikira bermula dengan naiknya Mahathir sebagai perdana menteri. Ketika itu yang menjadi pembangkang adalah PAS, DAP, dan Parti Rakyat.

Jadi apa yang disebut sebagai pangkal jalan adalah relatif. Tetapi kalau asasnya adalah untuk membina Malaysia Baru, maka pangkal jalan boleh dikira daripada penubuhan PH yang asalnya terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah untuk menggantikan Pakatan Rakyat.

Penyertaan Mahathir dan PPBM membawa kepada kemenangan PH yang bertanding menggunakan lambang PKR. Apabila PPBM keluar, kerajaan PH tumbang walaupun Mahathir dan pengikutnya tetap bersama pakatan itu.

Pangkal jalan PH adalah untuk kepercayaan bahawa Malaysia yang ada sekarang tidak boleh diterima dan dibiarkan. Keadaan yang lebih baik boleh dicapai. Kalau Malaysia Baru tidak dapat dicapai kerana PH berpecah, maka pangkal jalan bagi perjuangan ialah untuk Malaysia yang lebih baru.

Maka untuk bersikap positif dan optimis, kembali ke pangkal jalan adalah memulakan semula perjuangan PH sebagai pihak pembangkang untuk menuntut Malaysia yang lebih baru.

Perjuangan ini bukan saja untuk memenangi pilihan raya bagi mendapatkan kuasa, tetapi apa yang lebih penting ialah rakyat dapat manfaat daripada negara mereka yang dikongsi bersama, secara adil dan bebas daripada kleptokrasi, korupsi, dan penyelewengan lain.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/3dM8y7F
via IFTTT

No comments:

Post a Comment