KLUANG: Kerajaan Johor hilang lebih 20% hasil negeri berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura bagi membendung penularan Covid-19, kata Menteri Besar, Hasni Mohammad.
Beliau berkata, ia bukan saja berpunca daripada cukai dan caj tertentu yang tidak dapat dikutip, tetapi juga ketidakaktifan pelabur serta pelancong dari negara jiran itu masuk atau merentas negeri berkenaan.
“Johor merupakan negeri yang cukup banyak potensinya, tetapi dalam masa sama, apabila negara jiran kita Singapura turut menghadapi masalah ekonomi (disebabkan Covid-19), Johor terkesan 2 kali ganda daripada negeri lain,” katanya pada program lawatan kerja ke Kluang dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Petugas Barisan Depan Covid-19 semalam.
Bagaimanapun, Hasni berkata, kerajaan negeri komited mencari jalan memulihkan ekonomi, termasuk menyediakan pelbagai inisiatif dan kelonggaran bagi membantu sektor ekonomi “bangun semula”.
Mengenai kemasukan pekerja tempatan ke negara seberang tambak itu, katanya, ia masih dalam peringkat perbincangan.
Beliau berkata, rekod menunjukkan 200,000 penduduk negara ini, terutamanya yang tinggal di Johor Bahru bekerja di republik itu dan ada sebahagiannya berulang-alik setiap hari.
Kelmarin, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan aturan perjalanan berkala bagi membenarkan penduduk kedua-dua negara yang memegang pas imigresen jangka panjang atas tujuan perniagaan atau bekerja, pulang ke negara masing-masing dari semasa ke semasa untuk cuti jangka pendek.
Katanya, laluan hijau ulang-alik akan diwujudkan untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3dHqIY6
via IFTTT
No comments:
Post a Comment