Pada pilihan raya umum lalu, rakyat memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Mandat rakyat itu ditamatkan Mahathir apabila beliau meletakkan jawatan PM meskipun dipujuk Yang di-Pertuan Agong pada Februari lalu.
Keinginan beliau mendirikan sebuah kerajaan perpaduan mengejutkan ramai di saat getir, ketika semua ahli Parlimen perlu menyatakan pendirian mereka kepada Agong.
Cita-cita Mahathir mendirikan kerajaan perpaduan akhirnya hancur berkecai bersama jawatan PM sementara yang dipegangnya apabila beliau tidak lagi dicalonkan sebagai PM oleh Pakatan Harapan ketika berjumpa Agong. Sebaliknya, yang dicadangkan PH ialah Anwar Ibrahim.
Selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai PM, Mahathir dalam satu pertemuan tertutup bersama ahli PPBM menyerang Anwar “gila-gila” hendak menjadi PM.
“Anwar memang dia gila-gila nak jadi PM, dia tak boleh jadi (PM) pasal entah macam mana kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya.
“Saya amat sedih kerana saya kalah dalam pemilihan ini kerana dia minta pada PH supaya namakan dia sebagai calon (PM) PH. Kalau tak, saya dah dapat 90 undi dan tambah 60 undi, saya boleh dapat majoriti jadi (PM) kerana dia tuntut untuk jadi calon, walaupun dia sepatutnya tak boleh dapat, tetapi dia tuntut,” kata Mahathir dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin akar umbi PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 1 Mac lalu.
Pertarungan antara Mahathir dan Anwar tidak terhenti di situ. Persepsinya, mereka juga saling berebut jawatan ketua pembangkang, tetapi akhirnya jawatan itu dimenangi Anwar. Sebagai ketua pembangkang, selayaknya Anwar ialah calon PM parti pembangkang sekiranya mereka mendapat kuasa semula.
Namun, di dalam sifir buku politik Mahathir, jawatan ketua pembangkang tiada apa nilai.
Di dalam kekalutan mendapatkan kembali sokongan untuk menjadi PM, Mahathir semalam mencadangkan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon PM menggantikan beliau.
Beliau turut mendakwa DAP dan Amanah sebulat suara bersetuju dengan cadangan ini yang juga menyaksikan Anwar dan anak Mahathir, Mukhriz dilantik sebagai timbalan perdana menteri I dan II.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menangkis dakwaan itu segera dengan menjelaskan cadangan opsyen Shafie sebagai PM perlu dibawa berbincang mesyuarat Majlis Presiden PH yang turut dianggotai Anwar.
Persoalannya, jika Mahathir sanggup menyokong Shafie diangkat sebagai PM, mengapa Mahathir tidak mencadangkan Anwar, yang juga ketua pembangkang sebagai calon PM?
Jika Mahathir boleh memujuk orang yang menyokong beliau untuk menyokong Shafie sebagai PM, mengapa Mahathir tidak mampu berbuat demikian untuk Anwar?
Apakah Shafie mempunyai sokongan ahli Parlimen mencukupi berbanding Anwar? Opsyen melantik Mahathir sebagai calon PM ke-9 hancur berkecai, meskipun disokong penuh DAP dan Amanah kerana PKR dan Anwar enggan menerima beliau sebagai calon PM ke-9.
Oleh itu, mampukah Shafie mendapat sokongan ahli Parlimen yang cukup? Jika PKR menolak cadangan opsyen di mana Anwar menunggu 6 bulan sebelum Mahathir menyerahkan kuasa jika PH kembali berkuasa, apakah PKR boleh menerima cadangan baru ini, di mana jika ditakdirkan Shafie akan menjadi PM, belum tentu beliau akan ada tempoh untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar. Silap-silap, Mukhriz yang memintas Anwar nanti.
Perkara paling membingungkan dalam Langkah terbaru Mahathir ini ialah syarat melantik Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri II.
Apakah locus standi yang ada untuk Mukhriz dilantik sebagai timbalan perdana menteri II? Secara jujurnya, Mohamad jauh lebih layak memegang jawatan itu berbanding Mukhriz kerana Amanah mempunyai kerusi Parlimen sekali ganda melebihi Mahathir, yang kini tanpa parti.
Sedar atau tidak, saban hari, persepsi kian dibina PKR ialah penghalang kepada usaha PH kembali menjadi kerajaan selepas parti itu bertegas tidak menerima Mahathir sebagai calon PM ke-9.
Langkah terbaru Mahathir ini akan memaksa PKR memilih antara 2 kesudahan, iaitu sama ada PKR akan menegaskan prinsip dan menelan tuduhan mereka punca pembangkang berpecah atau melupakan hasrat Anwar menjadi PM buat selama-lamanya?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZfB5NK
via IFTTT
No comments:
Post a Comment