Breaking news

Monday, 29 June 2020

Berhenti kongsi pengetip kuku, berisiko dapat banyak penyakit termasuk hepatitis!

Barangan peribadi seperti pengetip kuku tidak wajar dikongsi kerana boleh mengakibatkan jangkitan penyakit.

“Sharing is caring”. Ya, pepatah Inggeris ini memang tepat namun ada beberapa barangan peribadi kita yang tidak harus dikongsi bersama orang lain termasuklah pengetip kuku.

Ini kerana ramai di kalangan kita yang gemar berkongsi barangan peribadi dek kerana kurang prihatin terhadap risikonya.

Perkongsian ini akan selalu berlaku dalam kalangan orang yang kita sangat rapat seperti suami atau isteri, ahli keluarga serta rakan karib.

Sebenarnya, barangan peribadi seperti berus gigi, sikat rambut, pisau cukur, pakaian, tuala mandi serta pengetip kuku tidak wajar dikongsi kerana boleh mengakibatkan jangkitan penyakit.

Kenapa tidak boleh kongsi barangan peribadi?

Ada perkara yang kita boleh kongsi dan ada juga yang tidak boleh dikongsikan seperti teman istimewa anda.

Sebagai contoh, kita boleh lihat kepada barangan peribadi yang paling kerap digunakan oleh lebih dari satu orang sahaja iaitu pakaian dan tuala mandi.

Ini kerana perbuatan sebegini berisiko memindahkan kuman yang berada pada permukaan kulit manusia di antara satu individu kepada individu yang lain.

Akibatnya, ia mungkin menyebabkan tubuh badan menjadi tempat pembiakan kuman lantas mengakibatkan beberapa kondisi kesihatan termasuklah:

  • Jangkitan staph
  • Jangkitan yis
  • Jerawat
  • Ringworm
  • Jock Itch
  • Pink eye
  • Athelete’s foot
  • tuala

“Perbuatan berkongsi barangan peribadi terutamanya pakaian yang dipakai pada kulit seperti tuala mandi boleh jadi punca jangkitan kudis buta,” jelas Perunding Dermatologi Dr Saadiah Sulaiman.

Bagaimana pula dengan pengetip kuku? Adakah benar ia berisiko menyebarkan hepatitis dan pelbagai penyakit lain seperti yang tertera pada judul artikel?

Awas, kongsi pengetip kuku berisiko sebarkan Hepatitis C!

Pengetip kuku adalah sejenis alat yang dicipta khas untuk memotong atau mengerat kuku jari tangan dan kaki.

Sudah menjadi satu kebiasaan di mana kita akan berkongsi alatan ini kerana cuma terdapat beberapa unit sahaja di rumah (jika masih belum hilang).

Pun begitu, wajarlah untuk kita tahu bahawa perbuatan ini adalah berbahaya kerana berisiko menyebarkan pelbagai jenis penyakit termasuklah Hepatitis C (HCV).

Untuk pengetahuan anda, HCV adalah sejenis penyakit yang boleh merebak melalui darah.

Ini bermakna seseorang yang menghidapinya berisiko sebarkan penyakit ini kepada individu lain jika terdapat luka, rongga atau bukaan pada kulit sehingga mengalirkan darah.

Disebabkan itu, barangan peribadi seperti berus gigi, sikat rambut, pisau cukur, pakaian dan pengetip kuku tidak boleh dikongsikan lebih-lebih jika mereka berpenyakit.

Selain tidak berkongsi pengetip kuku, apa penderita perlu buat?

Sekiranya anda salah seorang dari penderita Hepatitis C, jangan sesekali berkongsi barangan peribadi meskipun anda yakin tiada darah yang boleh disebarkan.

Dalam pada itu, sila beri amaran kepada orang di sekeliling terutamanya yang tinggal serumah tentang penyakit yang anda sedang alami ini agar mereka lebih berwaspada.

Antara individu yang wajib anda beri amaran termasuklah:

  • Orang yang tinggal serumah dengan anda
  • Doktor
  • Jururawat
  • Ahli akupuntur
  • Pencacah tatu
  • Penindik telinga

Bukan sahaja Hepatitis C, wujud juga risiko penyakit lain!

Ya, memang wujud risiko penyakit lain. Selain HCV, terdapat beberapa risiko jangkitan penyakit akibat perkongsian barangan peribadi termasuklah pengetip kuku.

Antara jangkitan penyakit yang dimaksudkan:

1. Jangkitan cacing

Jangkitan cacing seperti pinworms boleh menyebabkan kerengsaan pada bahagian kulit terutamanya bahagian alat sulit dan lubang dubur.

Sekiranya tangan penderita tersentuh bahagian yang terjangkiti dan menggunakan pengetip kuku, ia boleh meninggalkan risiko jangkitan.

Apabila anda pula menggunakan pengetip kuku terbabit, anda berisiko untuk mendapat jangkitan.

2. Jangkitan bakteria

Jangkitan bakteria seperti bakteria pemakan daging boleh menyebabkan kerosakan pada tisu kulit yang seterusnya mungkin jadi punca cacar air.

Ada satu kes di Amerika di mana seorang wanita terjangkiti bakteria ini ketika menjalani rawatan manicure akibat perkongsian pengetip kuku.

Oleh itu, jangan sesekali berkongsi alatan ini serta semua barangan peribadi anda dengan orang lain.

3. Jangkitan virus

Jangkitan virus seperti Human Papilloma Virus (HPV) boleh menyebabkan ketuat plantar yang merebak melalui luka, rongga atau bukaan pada kulit.

Ia juga boleh tersebar melalui perkongsian pengetip kuku dan biasa menyebabkan ketuat pada sekitar bahagian tapak kaki, keting atau betis.

Akhir kata, terdapat banyak jangkitan penyakit yang boleh berlaku jika berkongsi barangan peribadi termasuklah pengetip kuku.

Jadi, sila guna dan simpan ia hanya untuk diri anda sendiri!

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2Zh4six
via IFTTT

No comments:

Post a Comment