Breaking news

Sunday, 31 May 2020

RM2 juta untuk bina tembok penahan di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa

Kakitangan MPAJ memasang kanvas di kawasan tanah runtuh di belakang 7 rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa semalam.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan 7 rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diarah mengambil tindakan serta-merta untuk membaik pulih kawasan terjejas.

Katanya, kerja pembinaan dan baik pulih dijangka dilaksanakan dalam masa 6 bulan dan penduduk diarah mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh berkenaan.

“Saya telah arahkan kontraktor mulakan kerja mereka, peruntukan itu diluluskan serta-merta untuk MPAJ lakukan kerja mereka,” katanya selepas melawat tempat kejadian semalam.

Mengenai penduduk yang diarah mengosongkan kediaman, ahli Parlimen Ampang itu berkata, mereka akan ditempatkan sementara di Hotel De Palma, Ampang.

“Mereka akan diberikan masa untuk kosongkan rumah dan bomba akan membantu mereka ambil barang keperluan dan sebagainya.

“Mereka dan keluarga kemudian boleh ke De Palma sebelum memikir tempat tinggal mereka untuk 6 bulan, sama ada di apartmen atau sebagainya.

“Kos berkenaan akan ditanggung oleh saya dan Azmin Ali (Adun Bukit Antarabangsa)…untuk kediaman kita anggarkan RM3,000 sebulan untuk satu keluarga.”

Kira-kira 40 penghuni rumah teres 2 tingkat diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan tanah runtuh awal pagi semalam.

Sementara itu, Azmin berkata, agensi berkaitan akan melakukan siasatan punca kejadian tanah runtuh kerana masih terdapat pergerakan tanah.

Katanya, beliau dimaklumkan kerja menambah baik cerun di kawasan itu sudah ditawarkan kepada kontraktor layak pada Mac lepas, namun ia tidak dapat diteruskan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Pergerakan tanah ini serius, maka kita perlu lihat semula perkara ini secara menyeluruh.”

Sementara itu, kerajaan Selangor akan memantau lokasi berisiko berlaku tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dari semasa ke semasa bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata insiden tanah runtuh pernah berlaku di kawasan itu pada 2008 dan tahun lalu.

“Kawasan ini sedia maklum memang agak tidak kukuh, tapi sebahagian rumah telah dibuat sejak 80-an, jadi apa yang dibuat kerajaan negeri kita akan pantau dari semasa ke semasa untuk elak kejadian begini berlaku atau bencana lebih besar,” katanya selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Kelab Ukay semalam.

Disember tahun lalu, sebuah banglo di taman itu diarah dirobohkan selepas berlaku pergerakan tanah serius dan penghuni rumah terbabit serta 2 rumah berhampiran turut diarah dikosongkan serta-merta.

Amirudin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran akan membaik pulih Sungai Sering dan anak sungai itu yang tersumbat bagi mengelakkan banjir.

“Projek ini sedang berlangsung, tapi sebab PKP kita tidak dapat teruskan…MPAJ akan membawa hal ini ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Khamis depan.”

Zuraida berkata, kerajaan negeri mungkin perlu menambah peruntukan menambah baik aliran Sungai Sering dan anak sungai itu yang sebelum ini menerima peruntukan RM100,000.

Beliau meminta wakil penduduk di kawasan terbabit memantau keadaan cerun di kediaman sekitar mereka terutamanya apabila hujan.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, tembok penahan setinggi 4m dengan kepanjangan 70m akan dibina untuk membaik pulih cerun terjejas.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2zMxvld
via IFTTT

No comments:

Post a Comment