Breaking news

Sunday 31 May 2020

Perbicaraan rasuah SRC Najib akan berakhir minggu ini

Najib Razak ialah bekas perdana menteri pertama yang didakwa atas kesalahan jenayah.

KUALA LUMPUR: Selepas 14 bulan, perbicaraan Najib Razak atas pertuduhan rasuah berkaitan SRC International Sdn Bhd akan berakhir dengan pihak pembelaan dan pendakwaan akan membuat penghujahan lisan selama 3 hari mulai esok.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit berhubung penghujahan bertulis yang difailkan terdahulu sebelum beliau membuat keputusan.

Najib, 67, diarah membela diri pada November tahun lalu atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana ke akaun peribadinya daripada bekas anak syarikat 1MDB itu.

Kira-kira 800 bukti dikemukakan sepanjang perbicaraan selama 91 hari yang bermula 3 April 2019.

Pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk mewujudkan kes prima facie terhadap Najib, manakala pihak pembelaan menutup kesnya pada 11 Mac lalu selepas memanggil 19 saksi.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama yang didakwa atas kesalahan jenayah. Beliau memberi keterangan bersumpah kira-kira 10 hari.

Saksi utama lain yang memberi keterangan ialah bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah; bekas menteri Jamil Khir Baharom dan Anifah Aman; bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dzulkifli Ahmad serta Latheefa Koya.

Pihak pembelaan berkata, tiada penyalahgunaan kuasa kerana penyertaan Najib dalam proses membuat keputusan di mesyuarat Kabinet dibuat tanpa berselindung dan bersih.

Tambahan, katanya, tiada penyalahgunaan wang SRC sebanyak RM42 juta kerana jumlah yang dimasukkan ke akaunnya ialah sebahagian sumbangan daripada keluarga diraja Arab.

Pihak pembelaan juga berpendapat tuduhan pengubahan wang akan digugurkan jika mahkamah memutuskan Najib bersih daripada sebarang penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

Pada 5 Mei lalu, pihak pembelaan mengemukakan penghujahan bertulis sepanjang 643 muka surat, manakala pihak pendakwaan menyerahkan 306 halaman. Dua minggu kemudian, kedua-dua pihak memfailkan jawapan untuk penghujahan bertulis mereka.

Peguam Muhammad Shafee Abdulah dan Harvinderjit Singh mungkin membuat penghujahan lisan dan penjelasan, manakala Pendakwa Raya ad-hoc, V Sithambaram mewakili pihak pendakwaan.

Sistem keadilan jenayah Malaysia, di mana seorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga terbuka bersalah, memerlukan pihak pendakwaan membuktikan kesnya melebihi keraguan munasabah untuk mendapatkan sabitan ke atas semua pertuduhan. Pihak pembelaan hanya perlu menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwaan untuk mendapat pembebasan.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2ZTLpgi
via IFTTT

No comments:

Post a Comment