Breaking news

Sunday 31 May 2020

Peguam syarie gesa semak semula kursus kahwin

Seorang peguam syarie berkata, beliau dan ramai peguam syarie lain perlu menangani sejumlah besar kes perkahwinan setiap hari.

PETALING JAYA: Seorang peguam menggesa kursus perkahwinan yang wajib bagi setiap pasangan Islam disemak semula supaya ia sejajar perkembangan semasa.

Peguam syarie, Nizam Bashir mencadangkan pihak berkuasa agama membuat semakan semula itu selepas berunding dengan peguam yang berpengalaman menangani masalah perkahwinan.

Katanya, beliau dan ramai peguam syarie lain mendapati mereka perlu menangani sejumlah besar kes perkahwinan setiap hari, menjadikannya jelas yang kursus sedia ada mempunyai kekurangan.

Beliau mendakwa ramai yang tidak berpuas hati dengan kursus itu.

“Saya terima banyak aduan daripada hadirin mengenai kandungan kursus itu serta sikap dan profesionalisme pengajar.”

Nizam menggesa pihak berkuasa agama untuk memastikan tingkah laku sewajarnya pengajar supaya tidak menimbulkan ketidakselesaan di kalangan hadirin.

Beliau mencadangkan kursus itu dilaksanakan dalam talian, tempoh 2 hari dikurangkan dan pasangan perlu menduduki ujian pra-kursus untuk menentukan tahap pengetahuan mereka.

“Pasangan kemudiannya hanya perlu menghadiri modul khusus berdasarkan pengetahuan mereka. Hanya mereka yang tidak mendapat markah memuaskan perlu mengikuti keseluruhan kursus.”

Katanya, pasangan yang mempunyai pengetahuan mencukupi dalam kandungan kurikulum patut dikecualikan menghadirinya.

Di Kedah, pasangan yang mahu berkahwin dalam tempoh perintah kawalan pergerakan tidak perlu mengambil kursus itu. Mereka hanya perlu melalui temuramah singkat sebelum berkahwin.



from Free Malaysia Today https://ift.tt/2XghU6s
via IFTTT

No comments:

Post a Comment