KOTA KINABALU: Bekas komponen Barisan Nasional (BN), Parti Liberal Demokratik (LDP) percaya ia boleh kembali kuat dalam politik Sabah dengan bekas ketua menteri Chong Kah Kiat mengetuai cabaran parti itu,
Pemangku presiden LDP Chin Su Phin berkata, rakyat telah bosan dengan drama politik yang berlaku dan mahukan pemimpin yang imej dan latar belakang yang baik.
“Dari segi politik, sama ada Warisan atau Umno, saya fikir rakyat sudah bosan. Tak perlu dijelaskan lagi keadaan politik yang wujud sekarang,” katanya kepada FMT.
“Rakyat Sabah mahukan kuasa ke-3 atau pemimpin yang benar-benar jujur untuk memimpin.”
Chin mengesahkan bahawa Chong, yang dijangka akan kembali sebagai presiden LDP, akan bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini dan memimpin parti itu sebagai pihak bebas.
“Tan Sri (Chong) akan mengetuai cabaran kami. Beliau akan bertanding di salah satu kerusi DUN di pantai barat, tetapi saya tidak boleh dedahkan lagi kawasan mana,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa LDP tidak akan bekerjasama dengan Umno atau BN atau mana-mana parti lain kerana percaya peluangnya untuk menang lebih baik sebagai parti bebas yang tidak terikat dengan mana-mana gabungan politik.
“Pada masa ini kita tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik. Kami akan bertanding secara bebas dalam pilihan raya ini.
“Sebab itu kami akan bertanding di lebih 40 kerusi. Kami mahu berikan pilihan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Sesebuah parti atau gabungan parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 37 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Dilihat sebagai parti Cina sebelum ini, LDP berkata, ia kini sebuah parti pelbagai kaum.
Katanya, ia juga bercadang untuk bertanding di kerusi Kadazan Dusun Murut dan juga Bumiputera Islam.
LDP merupakan parti ke-2 selepas Upko yang meninggalkan gabungan pemerintah BN selepas pilihan raya umum Mei 2018. Ia tewas di 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi negeri yang ditandingi di bawah tiket BN ketika itu.
from Free Malaysia Today https://ift.tt/3l0POWK
via IFTTT
No comments:
Post a Comment