
Trent Josiah Huizar bukanlah remaja biasa yang anda kenali. Tidak seperti kebanyakan remaja lain yang banyak menghabiskan waktunya ketika kuarantin disebabkan wabak Covid-19 dengan berlatih menari untuk TikTok atau memperbaiki skor permainan online mereka, sebaliknya dia yang berusia 16 tahun dari Phoenix, Arizona ini meluangkan masa dengan belajar Bahasa Melayu hanya dalam masa 2 minggu.
Jika itu masih tidak cukup mengagumkan anda, sebenarnya pemuda ini yang dikenali dalam kalangan rakannya sebagai TJ, berjaya menuturkan 14 bahasa.
Setiap hari, TJ menggunakan masa lapangnya menonton di saluran YouTube, “The Planet Project” yang memaparkan kisah unik mengenai kemanusiaan dan banyak bahasa yang dituturkan oleh orang di seluruh dunia.
“Saya boleh berbahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis, Portugis, Rusia, Czech, Slovak, Poland, Jerman, Mandarin, Bahasa Melayu, Parsi, Bulgaria dan Haiti Creole,” kata TJ, mengenai senarai bahasa yang dituturnya dan mengagumkan FMT baru-baru ini.
Menurut TJ, ketika sekolahnya ditutup lebih awal seperti biasa tahun ini ekoran pandemik Covid-19, dia memutuskan untuk menggunakan masa lapang yang terluang untuk belajar bahasa lain dan memilih Bahasa Melayu sebagai salah satu.
“Saya belajar bahasa Melayu dalam masa 2 minggu dan cuba membuat video sendiri. Saya ingin mencabar diri saya untuk melihat berapa banyak bahasa yang dapat saya pelajari dalam masa 14 hari. ”
Dan bagi mencapai sasarannya itu, dia menghabiskan 8 jam setiap hari, belajar sehingga 150 perkataan setiap hari dan berjaya mempelajari kira-kira 1,000 perkataan dalam masa 2 minggu.

TJ juga menyatakan dia berasa lega apabila menyedari belajar Bahasa Melayu tidak begitu sukar dan akhirnya dia dapat bertutur dengan lancar.
“Saya masih berusaha untuk belajar lebih banyak. Saya hanya ingin melihat apakah saya dapat berbual dengan lancar setelah 14 hari, dan saya dapat melakukannya. Saya fokus kepada perkataan yang biasa digunakan dan ia sangat membantu ketika anda bercakap dengan orang lain.
“Saya mempelajari begitu banyak bahasa sehingga dan saya sedar ada beberapa perkataan yang lebih kuat daripada yang lain.”
Dan perkataan Bahasa Melayu kegemarannya? “Bersungguh-sungguh,” katanya sambil tersenyum.
Bagi TJ, belajar Bahasa Melayu bukan sekadar menghafal perkataan malah dia juga menghabiskan banyak masa mempelajari budaya rakyat Malaysia dan sekarang dia berharap dapat tinggal di Malaysia selama sebulan, merantau dari satu negeri ke negeri lain sebagai langkah menambahkan lagi pengetahuannya dengan bahasa Melayu.
TJ mengakui bahawa Bahasa Melayu salah satu bahasa yang lebih mudah digunakan kerana tidak mempunyai hujung kata kerja atau konjugasi yang sering terdapat dalam bahasa Eropah.
Namun, katanya dari segi perbendaharaan kata, walaupun berbeza daripada bahasa Inggeris, ia memiliki persamaan dengan bahasa Tagalog dan Bahasa Indonesia.

“Apabila anda ke langkah seterusnya untuk mempelajari tatabahasa, saya yakin ia memberi anda kelebihan untuk pelajari bahasa lain seperti Tagalog dan Bahasa Indonesia.”
Daripada semua 14 bahasa yang telah dipelajarinya, TJ berpendapat bahasa Rusia paling sukar untuk dikuasai kerana sebutan dan tatabahasanya agak sukar.
Tambahnya selepas dia merasa yakin berjaya menguasai Bahasa Melayu, tanpa berlengah dia terus mencari rakan untuk berbual.
“Saya biasanya mempunyai rakan yang boleh bertutur dalam setiap bahasa yang saya pelajari. Sekiranya saya berjumpa mereka yang boleh bertutur sama ada di sekolah atau bandar, saya akan mempraktikkan perbualan saya dengan rakan dalam talian.
“Saya sudah bertemu dengan banyak orang di Instagram yang lebih senang berkomunikasi dengan saya dalam Bahasa Melayu. Malah di laman web juga ada tutor yang boleh mengajar anda untuk bercakap. ”
Katanya minatnya terhadap linguistik sedikit sebanyak membantunya dapat mengenali banyak kawan kerana bahasa tidak lagi menjadi penghalang.
Dan sekiranya dia tahu dia akan melakukan perjalanan ke negara tertentu, dia akan mengambil kesempatan untuk belajar bahasa yang dituturkan di sana.

“Sebelum saya pergi ke Armenia, saya belajar berbahasa Rusia. Saya selalu percaya bahawa jika anda dapat mempelajari bahasa tempat yang anda lawati, anda akan mendapat pengalaman yang lebih baik dan dapat memahami budaya dengan lebih mendalam.”
Pembuat filem ini juga setakat ini telah mengunjungi 25 negara termasuk China, Armenia, Portugal, Slovakia, Eropah dan Australia.
Semasa di Australia, TJ mencuba beberapa masakan Melayu dan baginya nasi lemak merupakan hidangan kegemarannya.
“Saya berharap dapat melakukan perjalanan ke satu tempat yang indah pada akhir tahun 2020 untuk dokumentari saya yang seterusnya,” kata TJ.
Anda juga dapat saksikan sendiri dokumentari menerusi saluran YouTube TJ, The Planet Project.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
from Free Malaysia Today https://ift.tt/2BN0dmQ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment